Remaja 14 tahun pandu kereta, rempuh dua kenderaan dalam kejadian lawan arus
PERAI – Tindakan seorang remaja berusia 14 tahun memandu kereta tanpa lesen mengundang padah apabila terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di dua lokasi berasingan di Taman Chai Leng di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, remaja terbabit dipercayai terlebih dahulu melanggar sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan sebelum meneruskan perjalanan dan memasuki laluan sehala secara melawan arus.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, remaja itu memandu dari Lorong Kurau 23 menuju ke Jalan Kurau 1 sebelum melanggar kenderaan pertama.
Menurutnya, suspek kemudian meneruskan perjalanan ke Lebuh Kurau 5 dan dipercayai memasuki laluan sehala secara melawan arus sebelum melanggar sebuah lagi kereta yang sedang bergerak di laluan betul.
“Akibat kemalangan itu, ketiga-tiga kenderaan mengalami kerosakan namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.47 malam hari yang sama dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya,” katanya lagi.
Nik Aminuddin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta tidak membenarkan mereka yang masih di bawah umur memandu kenderaan.
Terdahulu, video kejadian itu tular di media sosial memaparkan seorang remaja memandu sebuah kereta sebelum melanggar beberapa kenderaan dan akhirnya berjaya dihentikan orang ramai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








