BERITA SEMASA

Tindakan pantas bomba selamatkan dua beradik berpelukan terperangkap kebakaran

ALOR SETAR – Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak yang terperangkap di tingkat atas sebuah rumah dua tingkat yang terbakar di Taman Sri Kota, di sini pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.16 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi hanya lima minit kemudian.

Menurutnya, sebaik tiba, operasi menyelamat segera digerakkan apabila dimaklumkan dua mangsa masih terperangkap di dalam rumah.

“Anggota berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak yang ditemui di tingkat atas dalam keadaan selamat, dan mereka dibawa keluar melalui laluan khas yang disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 10.37 pagi hasil kerjasama 36 anggota termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari kawasan sekitar.

Kebakaran itu mengakibatkan kemusnahan kira-kira 70 peratus terhadap struktur rumah termasuk sebuah kereta jenis Proton Wira, manakala lapan motosikal hangus sepenuhnya.

Dalam kejadian itu, tiga beradik berada di rumah ketika api mula marak.

Abang sulung berusia tujuh tahun bertindak pantas keluar meminta bantuan selepas menyedari dua adiknya berusia empat dan tiga tahun masih berada di tingkat atas rumah dalam keadaan berpelukan.

Lapan motosikal yang turut musnah merupakan milik pelanggan suaminya yang bekerja sebagai mekanik di Jalan Sultan Abdul Halim, berhampiran lokasi kejadian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button