PDRM nafi anggota trafik lari selepas terlibat kemalangan
KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan kononnya seorang anggota trafik melarikan diri selepas bergesel dengan sebuah motosikal sehingga menyebabkan penunggangnya terjatuh di kawasan Subang Jaya seperti dalam video tular semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian itu sebenarnya membabitkan seorang anggota yang sedang menjalankan tugas rasmi dengan menunggang motosikal jenis BMW.
Menurutnya, anggota berkenaan tidak melarikan diri seperti didakwa, sebaliknya memberhentikan motosikal kira-kira 30 meter dari lokasi pergeselan bagi mengelakkan risiko kepada pengguna jalan raya lain.
“Malah, anggota terbabit turut memberikan bantuan kepada mangsa bersama orang awam sebelum mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Penjelasan itu dibuat susulan satu rakaman video berdurasi 17 saat yang tular di Facebook sejak jam 6.50 petang semalam, yang mendakwa anggota polis tersebut tidak berhenti selepas terlibat dalam kemalangan dengan motosikal jenis Honda ADV di Lebuh Raya Subang-Kelana Jaya Link.
Mengulas lanjut, Wan Azlan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal BMW yang ditunggang anggota itu berada di lorong kanan, sebelum menukar haluan ke lorong kiri dan bergesel dengan motosikal mangsa yang berada di lorong tengah.
“Akibat pergeselan itu, mangsa, seorang lelaki berusia 20 tahun, terjatuh ke bahu kiri jalan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Subang Jaya, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






