BERITA SEMASA

Riadah bertukar tragedi, pekerja Coffee Bean lemas di Hutan Lipur Chamang

BENTONG – Kegembiraan 14 pekerja Coffee Bean Caltex Sungai Besi beriadah di Hutan Lipur Chamang, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas ketika mandi, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.29 petang itu, mangsa, Mohd Aiman Nazmi Mohd Yusuf, 29, dari Felda Endau, Johor, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 1.29 petang.

Susulan itu, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Jentera bomba tiba di lokasi pada pukul 2.11 petang dan mendapati mangsa telah dinaikkan oleh pihak perhutanan sebelum pasukan penyelamat tiba.

“Pemeriksaan dan pemantauan di lokasi mendapati mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, mangsa datang ke Hutan Lipur Chamang bersama 13 rakannya yang terdiri daripada lapan lelaki dewasa dan lima perempuan dewasa.

Katanya, operasi tamat selepas semua tindakan berkaitan di lokasi kejadian diselesaikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button