Dakwaan Noorizwan ‘terjatuh dalam lokap’ tidak munasabah – Rayer
KUALA LUMPUR – Dakwaan Noorizwan Zulkefly, 42, meninggal dunia akibat “terjatuh dalam lokap” disifatkan tidak munasabah susulan kecederaan serius yang dialaminya ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu campur tangan bagi memastikan siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kematian itu.
Pada masa sama, beliau turut mendesak pegawai penyiasat dan semua anggota polis yang terbabit dalam siasatan kes berkenaan digantung tugas serta-merta.
“Norizwan sudah meninggal dunia dan tidak lagi mampu mempertahankan diri.
“Kecederaan dialami beliau ialah bengkak pada kaki dan lutut, luka di belakang badan dan pergelangan tangan, enam tulang rusuk patah, kecederaan serius pada kepala serta pendarahan pada usus dan otak.
“Meskipun beliau memiliki rekod jenayah lampau, penahanannya adalah bagi tujuan siasatan mengikut undang-undang,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Rayer berkata, beliau menghormati kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus yang meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kes berkenaan, namun menegaskan keperluan untuk memastikan siasatan dijalankan secara terbuka dan tanpa kompromi.
“Saya dengar sidang akhbar dia minta jangan buat spekulasi. Saya hormati, tetapi dia perlu bertanggungjawab.
“Satu siasatan terbuka tanpa kompromi perlu dijalankan dan sekiranya ada pegawai yang melakukan kekerasan terhadap mangsa yang telah meninggal dunia, saya menuntut satu kertas siasatan dibuka dan mereka dihadapkan ke mahkamah dengan pertuduhan paling serius,” katanya.
Pada 7 Oktober lalu, peguam N Surendran mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan kematian Noorizwan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Surendran dilaporkan berkata, desakan itu dibuat susulan penemuan kecederaan serius pada tubuh Noorizwan, yang meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, pada 1 Oktober lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








