KPDN kemuka cadangan subsidi diesel feri Kudat-Pulau Banggi
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) supaya subsidi diesel diperluas kepada pengusaha feri laluan Kudat-Pulau Banggi, Sabah, susulan pengurangan kekerapan perjalanan akibat peningkatan kos operasi.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, cadangan itu mengambil kira kepentingan perkhidmatan feri berkenaan sebagai pengangkutan utama yang menghubungkan penduduk Pulau Banggi dengan bandar Kudat.
“Mengambil kira kepentingan perkhidmatan feri sebagai pengangkutan utama yang menghubungkan penduduk antara bandar Kudat dan Pulau Banggi, KPDN telah mengangkat cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan peluasan pemberian subsidi diesel kepada pengusaha perkhidmatan feri bagi laluan Kudat-Pulau Banggi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, KPDN bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi dan agensi kerajaan berkaitan mengadakan sesi libat urus dengan dua syarikat pengendali feri susulan pengurangan kekerapan perjalanan yang dikaitkan dengan peningkatan kos operasi serta bahan api diesel.
Menurutnya, perkhidmatan feri itu penting bagi membolehkan penduduk menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial, mendapatkan akses kepada perkhidmatan asas serta memperoleh bekalan keperluan harian.
“Cadangan ini dibuat berdasarkan keperluan perkhidmatan feri bagi sektor ini adalah tertumpu kepada keperluan perhubungan penduduk setempat dan bukannya aktiviti pelancongan,” katanya.
Armizan berkata, pertimbangan peluasan subsidi itu diharap dapat membantu kedua-dua syarikat pengendali feri meningkatkan semula kekerapan perjalanan.
“Adalah diharapkan pertimbangan subsidi ini akan membolehkan kedua-dua syarikat pengendali feri meningkatkan semula jumlah kekerapan perjalanan. Perincian mekanisme pelaksanaan akan diumumkan tertakluk kepada persetujuan dan keputusan Kementerian Kewangan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, KPDN turut melaksanakan inisiatif bagi membantu meringankan kos sara hidup penduduk Pulau Banggi menerusi Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) dan Program Pengedaran Barang Perlu.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 18 Oktober 2026, sebanyak 35 siri PJRM dilaksanakan di Pulau Banggi, manakala 31 siri program itu diadakan sepanjang 2025.
Sementara itu, Program Pengedaran Barang Perlu di pulau berkenaan merangkumi 77 pusat jualan yang melibatkan tiga zon, iaitu Karakit, Damaran dan pulau-pulau sekitar Pulau Banggi.
Dalam pada itu, Armizan berkata, setakat 18 Oktober 2026, sebanyak 205,167 syarikat membabitkan 514,111 kenderaan perdagangan berdaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, Sabah merekodkan 17,703 pendaftaran syarikat melibatkan 38,659 kenderaan, merangkumi 2,231 kenderaan pengangkutan awam darat, 27,655 kenderaan pengangkutan barangan keperluan pengguna dan 8,773 kenderaan persendirian syarikat, termasuk jip serta pikap.
Bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pula, sebanyak 24,204 syarikat membabitkan 44,883 kenderaan berdaftar di seluruh negara.
Sabah merekodkan 995 pendaftaran syarikat melibatkan 1,408 kenderaan, terdiri daripada 788 kenderaan pengangkutan awam darat dan 620 kenderaan pengangkutan barangan keperluan pengguna. Satu pendaftaran turut direkodkan bagi sektor pengangkutan awam air di negeri itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








