BERITA SEMASAPMX

Kerajaan kekal komited pertahan harga RON95 pada RM1.99 – PM

PUTRAJAYA – Kerajaan sekali lagi menyatakan komitmen untuk terus berusaha mengekalkan harga petrol RON95 pada paras RM1.99 seliter bagi memastikan kos bahan api itu tidak membebankan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun harga minyak di pasaran global dilaporkan semakin meningkat, keadaan di negara ini masih terkawal dengan penetapan harga RON95 yang rendah melalui pelaksanaan subsidi bersasar.

Menurutnya, harga minyak mentah Brent kini dilaporkan mencecah A$100 bagi satu barel, namun kerajaan masih mengekalkan harga RON95 pada kadar sedia ada.

“Harga minyak hari ini, harga minyak mentah Brent satu barel sudah naik 100 dolar Amerika. Kita masih bertahan dengan RM1.99 untuk BUDI 95 dan kita akan jalankan ikhtiar semaksimum mungkin supaya tidak membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini, hari ini.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga KPDN atas usaha membantu kerajaan mengawal kos sara hidup rakyat melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan, termasuk Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM).

Pasaran global kini berada dalam keadaan berhati-hati berikutan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat ke atas Iran serta peningkatan risiko geopolitik.

Situasi di Asia Barat itu turut mewujudkan sentimen mengelak risiko yang memberi kesan terhadap harga minyak mentah, nilai ringgit serta aliran perdagangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button