KPDN rampas 17,460 liter diesel bersubsidi, tiga lelaki ditahan
PUTRAJAYA – Kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 17,460 liter diesel dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah, Melaka, semalam.
Serbuan kira-kira pukul 9 pagi itu turut membawa kepada penahanan tiga lelaki bagi membantu siasatan, manakala keseluruhan barang yang disita dianggarkan bernilai RM334,363.20.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata serbuan dilakukan oleh sembilan pegawai penguat kuasa daripada Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya bersama-sama KPDN Melaka selepas bertindak hasil maklumat risikan.
“Serbuan dilakukan oleh sembilan pegawai penguat kuasa daripada Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya bersama-sama KPDN Melaka selepas bertindak hasil maklumat risikan.
“Premis berpagar terbabit disyaki digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pemindahan minyak diesel secara haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, 17,460 liter diesel bersubsidi itu ditemukan disimpan dalam sebuah tangki skid dan dua lori tangki.
Azman berkata, pihaknya menyita kesemua diesel berkenaan bersama tangki skid, satu unit pam, empat hos penyambung dan dua lori tangki.
Turut disita ialah sebuah lori kargo, lima telefon bimbit pelbagai jenama serta beberapa dokumen.
“Notis di bawah Seksyen 8(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 turut dikeluarkan bagi mengarahkan pengisytiharan stok dan penyerahan dokumen berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 21 akta sama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








