2 syarikat pengeluar santan umum kenaikan harga dipanggil KPDN
PUTRAJAYA – Sebanyak 47 notis di bawah seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) telah dikeluarkan ke atas peniaga kelapa dan santan kelapa yang didapati telah menaikkan harga barangan tersebut setakat ini.
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), sehingga kini sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka ke atas peniaga yang disyaki melakukan kesalahan di bawah akta terbabit.
“Bahagian Penguat Kuasa juga telah mengeluarkan arahan hadir ke atas dua buah syarikat pengeluar santan di bawah seksyen 21, AKHAP 2011 susulan pengumuman kenaikan harga oleh kedua-dua syarikat tersebut.
“KPDN akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, KPDN juga telah menyusuli perkara itu dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pemain-pemain industri bagi mengadakan perbincangan lanjut dalam menangani isu bekalan kelapa yang menyumbang kepada kenakan harga santan kelapa di pasaran.
Katanya, bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan di atas isu kekurangan kelapa di pasaran, Bahagian Penguat Kuasa KPDN telah membuat pemeriksaan menyeluruh di pelbagai peringkat rantaian.
Ujarnya, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan di bawah Akta 723 ke atas peniaga-peniaga berkaitan kelapa.
Sementara itu, KPDN juga memberikan amaran keras kepada mana-mana pihak agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
“Individu yang didapati melakukan kesalahan berkaitan pencatutan boleh diambil tindakan di bawah Akta 723.
“Pihak yang didapati mencatut, sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi pertubuhan perbadanan manakala bagi individu pula, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Selain itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung isu ini boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak KPDN melalui saluran WhatsApp ke 019-848 8000 atau portal e-aduan@kpdn.gov.my atau call centre 1 800 886 800 atau aplikasi telefon pintar Ez Adu KPDN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








