Sanggup berjaga, ke dobi dan lipat baju sendiri demi kepuasan pelanggan
KUALA LUMPUR – Demi memastikan tempahan pelanggan disiapkan mengikut masa yang dijanjikan, pengasas Victo Authentic, Adri Mustaqim Amrul Hazari, sanggup berjaga sepanjang malam, membasuh pakaian di dobi dan melipatnya sendiri sebelum dihantar kepada pelanggan pada awal pagi.
Berkongsi pengalaman itu dalam episod kedua Macam Tulah Podcast terbitan Malaysia Tribune, Adri berkata, kejadian berkenaan berlaku apabila masalah mesin mengganggu proses pengeluaran pakaian yang ditempah pelanggan untuk digunakan pada pagi Sabtu.
“Pelanggan membuat tempahan pada Selasa dan dia sudah berjanji pakaian berkenaan akan siap pada malam Jumaat.
“Bagaimanapun, kerosakan dalaman mesin menyebabkan proses mencetak pakaian tergendala sehingga pasukan saya hanya dapat memulakan kerja pada petang hari terakhir sebelum penghantaran.
“Saya dah cakap dengan klien, baju pasti siap pada hari Jumaat, pukul 11 malam,” katanya.
Adri berkata, sekitar pukul 6 petang Jumaat, pasukannya baru memulakan proses mencetak pakaian berkenaan, sekali gus memaksanya memastikan semua tempahan disiapkan secepat mungkin.
“Pelanggan yang menempah pakaian itu merupakan ahli sebuah gim di Setapak dan mereka sudah menunggu untuk mendapatkan tempahan masing-masing,” tambahnya.
Apabila pasukannya memaklumkan kerja mungkin hanya selesai sekitar pukul 1 pagi, Adri cuba berbincang dengan pelanggan bagi mencari penyelesaian yang sesuai.
Dia menawarkan untuk menghantar pakaian itu ke gim pada pukul 7 pagi atau membantu membasuhnya terlebih dahulu kerana pelanggan mahu pakaian berkenaan bersih dan sedia dipakai.
“Boleh tak saya hantar esok pagi-pagi pukul 7, dekat gim sendiri? Ataupun saya tolong basuhkan baju ini semua sebab pelanggan nak basuh baju dulu,” katanya.
Menurut Adri, pelanggan bersetuju dengan cadangan itu dan dia meneruskan kerja bersama pasukannya sehingga semua pakaian selesai dicetak.
Bagaimanapun, selepas proses percetakan selesai sekitar pukul 3 hingga 4 pagi, pemeriksaan mendapati empat helai pakaian rosak dan perlu dicetak semula.
Dia berkata, pasukannya terpaksa menyelesaikan semula pakaian yang rosak itu sebelum keseluruhan tempahan siap sekitar pukul 6 pagi.
Walaupun hanya mempunyai kira-kira sejam sebelum waktu penghantaran yang dijanjikan, Adri tidak terus menghantar pakaian berkenaan dalam keadaan begitu sahaja.
Sebaliknya, dia bergegas ke sebuah dobi di Setapak untuk membasuh pakaian itu bagi memastikan pelanggan menerima tempahan yang bersih.
Selesai membasuh, dia membawa pakaian berkenaan ke gim dan melipatnya sendiri di situ sebelum menyerahkannya kepada pelanggan yang sudah menunggu.
“Pukul 6, siap semua. Saya pergi Setapak, dobi baju untuk pelanggan. Lepas itu, hantar ke bilik kecergasan, lipat di situ dengan pelanggan yang membuat tempahan dan kemudian serahkan kepada mereka,” katanya.
Adri mengakui pengalaman menguruskan keseluruhan proses itu, daripada mencetak semula pakaian yang rosak, membasuhnya di dobi hingga melipat dan menghantarnya sendiri, merupakan antara pengalaman yang akan diingatinya sepanjang mengendalikan perniagaan.
Katanya, kejadian itu turut menyedarkannya tentang kepentingan membina hubungan baik dengan orang lain, terutama juruteknik dan individu yang mengendalikan penyelenggaraan mesin.
Menurutnya, jaringan hubungan yang baik membolehkan bantuan diperoleh apabila perniagaan berdepan masalah teknikal yang memerlukan tindakan segera.
“Saya jenis orang yang senang buat connection. Kita perlu berbaik dengan orang kerana saya tahu suatu hari nanti, apabila kita susah, orang akan berbaik dengan kita,” katanya.
Mengulas cabaran mengendalikan pelanggan yang mempunyai permintaan rumit, Adri berkata, komunikasi yang jelas dan penetapan syarat sejak awal penting bagi mengelakkan salah faham serta memastikan proses tempahan berjalan lancar.
Dia menjelaskan, pihaknya menetapkan tiga pilihan potongan pakaian iaitu regular, fit dan oversize, selain memberikan tiga kali pindaan reka bentuk sebelum caj tambahan dikenakan bagi pindaan seterusnya.
Dalam pada itu, Adri menasihatkan mereka yang mahu memulakan perniagaan supaya tidak terlalu lama membuat kajian sehingga gagal mengambil tindakan.
“Bagi saya, saya jenis go with the flow, banyak mengkaji dan terus buat. Jangan mengkaji sahaja tetapi tidak bertindak. Saya mengkaji dan terus bertindak. Kalau menjadi, itu bonus. Kalau tidak menjadi, kita ulang semula,” katanya.
Dia turut memberikan penghargaan kepada pasukannya yang disifatkan sebagai antara faktor penting dalam perkembangan perniagaan, khususnya komitmen mereka menyiapkan tempahan walaupun perlu bekerja hingga awal pagi.
Selain perkhidmatan percetakan pakaian khusus untuk sukan dan syarikat, Adri berkata, Victo turut mengembangkan operasi kepada pengurusan acara, media sukan serta perkhidmatan sports travel yang menghubungkan pasukan tempatan dengan pasukan luar negara.
Mengakhiri perkongsian, dia menegaskan bahawa minat terhadap bidang yang diceburi menjadi antara pendorong utama untuk terus bertahan dalam dunia perniagaan walaupun berdepan tekanan dan keletihan.
“Apa-apa pun, semuanya tentang minat. Minat itulah yang membuatkan kita kuat dan bersemangat. Walaupun penat, saya tetap menikmati kerja ini sebab saya suka,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






