BERITA SEMASA

Jangan jadikan krisis takhta Negeri Sembilan modal politik – Raja-Raja Melayu

KUALA LUMPUR – Raja-Raja Melayu mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagai modal politik untuk meraih sokongan, memperluas pengaruh atau memenuhi agenda perebutan kuasa.

Sebaliknya, semua pihak diminta memberi ruang kepada pihak berkepentingan dan berautoriti untuk menyelesaikan kemelut itu menerusi saluran yang sah, berlandaskan undang-undang serta adat negeri.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan media yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, hari ini.

“Kebijaksanaan, kesabaran dan penghormatan terhadap adab, adat serta maruah institusi diraja perlu menjadi keutamaan dalam menangani pertikaian berkenaan.

“Perbezaan pendirian yang timbul, hendaklah diselesaikan secara matang dan berhemah berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

“Ruang perundingan perlu dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan demi mencapai penyelesaian yang bermaruah tanpa merendah dan menghina mana-mana pihak,” kata kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu turut memberi amaran bahawa kenyataan bercanggah dan tidak bertanggungjawab berhubung isu berkenaan boleh meningkatkan ketegangan, mengelirukan rakyat serta menjejaskan kemuliaan institusi diraja.

Dalam masa sama, semua pihak diingatkan bahawa takhta bukan sekadar kedudukan, sebaliknya amanah besar yang membawa tanggungjawab terhadap negeri dan rakyat.

Sehubungan itu, semangat kekeluargaan, keharmonian masyarakat dan penghormatan terhadap institusi diraja perlu dipelihara sepanjang usaha mencari penyelesaian, termasuk dengan mengelakkan tindakan yang boleh mengaibkan mana-mana pihak.

Orang ramai juga diseru supaya tidak menyebarkan khabar yang belum disahkan atau terpengaruh dengan naratif yang berpotensi memecahbelahkan masyarakat.

Menurut kenyataan itu, sebarang pandangan atau tindakan tanpa memahami adat, sejarah dan kerangka perlembagaan Negeri Sembilan berisiko memburukkan keadaan serta menjejaskan keharmonian negeri.

Justeru, rakyat diminta memberikan masa dan ruang kepada pihak berautoriti untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

“Dalam keadaan seperti ini, sikap terbaik ialah memelihara adab, menghormati adat, menjaga tutur kata dan tidak mencampuri urusan yang bukan bidang kita,” tambah kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu berharap semua pihak mengutamakan muafakat berbanding perselisihan, dengan kepentingan Negeri Sembilan, kesejahteraan rakyat dan kemuliaan institusi diraja terus menjadi keutamaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button