PMKS hasil jualan bawah RM50 juta dikecualikan gaji minimum RM2,000
KUALA LUMPUR – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta akan dikecualikan daripada pelaksanaan kadar gaji minimum RM2,000 yang berkuat kuasa Jun tahun depan, bagi memberi ruang kepada majikan menyesuaikan model perniagaan masing-masing.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu bertujuan membolehkan majikan menyusun semula kewangan dan operasi perniagaan tanpa perlu mengambil tindakan drastik, termasuk pemberhentian pekerja.
Beliau berkata, kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 seperti diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.
Menurutnya, PMKS merangkumi 8.09 juta pekerja atau 48.7 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara.
“Langkah ini bagi memastikan majikan dapat menyusun semula kewangan dan operasi perniagaan tanpa perlu mengambil langkah drastik, termasuklah pemberhentian pekerja,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan mengenai mekanisme kerajaan bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum baharu tidak menyebabkan pengurangan pekerja, kenaikan harga barangan atau peningkatan kos operasi perusahaan kecil, selain kemungkinan pemberian insentif peralihan kepada majikan terjejas.
Akmal Nasrullah berkata, penguatkuasaan perintah gaji minimum baharu akan dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja Sabah dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak selaras dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
Katanya, pekerja boleh membuat aduan sekiranya berlaku ketidakpatuhan, manakala majikan yang ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda atau pemenjaraan seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 43 akta berkenaan.
Sekiranya penyesuaian kadar gaji minimum menyebabkan penstrukturan semula syarikat sehingga berlaku pemberhentian pekerja, pekerja terjejas yang dilindungi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) layak menuntut faedah, termasuk Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) bagi membantu kelangsungan hidup sehingga enam bulan.
Mengenai kebimbangan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup, beliau berkata, trend inflasi negara kekal stabil dan terkawal walaupun berlaku peningkatan gaji.
Katanya, kadar inflasi menyederhana kepada 1.4 peratus sepanjang 2025 berbanding 1.8 peratus pada 2024 dan 3.3 peratus pada 2022.
Memasuki 2026, inflasi kekal terkawal pada kadar 1.7 peratus pada suku pertama dan sekitar 1.9 hingga 2.0 peratus pada suku kedua. Inflasi makanan dan minuman pula mencatatkan 1.4 peratus pada Mei dan Jun serta 1.8 hingga 1.9 peratus pada Julai dan Ogos.
Beliau berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama dan 6.0 peratus pada suku kedua 2026 turut menunjukkan peningkatan gaji minimum mengukuhkan permintaan domestik tanpa menjejaskan kestabilan harga.
Bagi mengawal harga barangan keperluan, beliau berkata, kerajaan akan memperketat penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, mengurus bekalan strategik serta meningkatkan kekerapan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di setiap Dewan Undangan Negeri.
“Sebanyak RM700 juta diperuntukkan bagi penganjuran 30,000 PJRM bersasar di kawasan desa, perumahan kos rendah dan Program Perumahan Rakyat (PPR) bandar.
“Selain itu, RM50 juta disediakan bagi menganjurkan 5,000 program Jualan Agro MADANI di seluruh negara yang menawarkan barangan agromakanan segar seperti ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara juga akan terus memantau dan melaksanakan usaha bagi menangani isu kos sara hidup.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








