JENAYAH & MAHKAMAH

Curi kabel: Polis tahan 14 individu termasuk dua wanita

SEREMBAN – Seramai 14 individu termasuk dua wanita ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel syarikat telekomunikasi di kawasan simpang jalan berdekatan sebuah sekolah kebangsaan di Panchor di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Yatim Osman berkata, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 67 tahun ditahan pada hari yang sama selepas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan melancarkan operasi khas Ops Lusuh di Labu, Nilai dan Dengkil, Selangor.

“Kejadian disedari seorang penduduk kira-kira 12 tengah hari selepas melihat empat lelaki memakai pelitup muka menaiki empat kenderaan sedang menarik kabel dari dua ‘manhole’ yang dipercayai milik syarikat telekomunikasi sebelum membuat laporan polis.

“Susulan laporan itu sepasukan pegawai dan anggota polis Cawangan D4 IPK Negeri Sembilan menjalankan operasi berkenaan sebelum semua suspek ditahan di beberapa premis dan lokasi berbeza,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yatim berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas lima kereta, beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memotong dan mencuri kabel, tiga beg guni berisi wayar tembaga yang dibakar serta beberapa helai pakaian suspek ketika kejadian.

Beliau berkata, kesemua suspek direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Kesalahan Multimedia 1998.

Susulan penangkapan itu, Mohd Yatim berkata polis berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian kabel di Negeri Sembilan, Selangor, Kedah dan Melaka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button