BERITA SEMASA

Polis tahan dua lelaki disyaki bakar mercun di tempat terbuka

SUNGAI PETANI – Dua lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam insiden membakar mercun di tempat terbuka sehingga membahayakan nyawa orang awam di Dataran Zero Kilometer dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, lelaki terbabit yang masing-masing berusia 24 dan 27 tahun disyaki bermain dan pemilik mercun berkenaan.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima di Balai Sungai Petani pada jam 12 tengah hari Selasa berhubung kejadian letupan bunga api dan mercun sehingga menimbulkan situasi cemas.

“Hasil siasatan awal mendapati, lokasi kejadian berlaku di atas jalan raya di Dataran Zero Kilometer berhampiran bazar Aidilfitri.

“Berdasarkan laporan. pengadu telah menerima maklumat melalui aplikasi WhatsApp dalam bentuk video berdurasi 43 saat berhubung letupan mercun dan bunga api di tempat kejadian,” katanya.

Jelas beliau, siasatan awal yang dijalankan mendapati letupan berpunca daripada pembakaran satu unit mercun jenis ‘happy bom firework’ di mana semasa letupan berlaku mercun tersebut telah terbalik dan tersasar ke arah lambakan mercun lain.

“Kejadian menyebabkan suasana nampak cemas dengan letupan dan dentuman mercun serta bunga api dalam kuantiti yang banyak.

“Pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani turut dikejarkan ke lokasi kejadian dan mengesahkan tiada kebakaran berlaku,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7(a) Akta Bahan Letupan 1957.

Terdahulu, satu video tular di media sosial memaparkan kejadian letupan bunga api dan mercun yang tidak terkawal sehingga
menimbulkan situasi cemas orang ramai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button