BERITA SEMASAPOLITIK

Ahli Parlimen Sungai Petani jadi mangsa ugutan siber berunsur pornografi AI

KUALA LUMPUR – Selepas Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari pula tampil mendedahkan dirinya menjadi mangsa terbaru serangan siber berunsur pornografi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Beliau memaklumkan perkara itu melalui hantaran di Facebook hari ini selepas menerima satu e-mel daripada pihak tidak dikenali pada 12 September lalu.

“Saya telah menerima satu e-mel daripada akaun yang tidak dikenali. E-mel itu mengandungi video lucah memaparkan gambar saya yang telah disunting menggunakan teknologi AI dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan integriti saya.

“Dalam e-mel itu, pihak tidak bertanggungjawab turut mengugut agar saya membayar wang sebanyak AS$100,000 sebagai tebusan untuk mengelakkan penyebaran video berkenaan,” katanya.

Lebih membimbangkan, pihak terbabit turut menuntut bayaran AS$100,000 (RM466,000) sebagai tebusan agar video itu tidak disebarkan kepada umum.

“Ugutan ini adalah jenayah siber yang sangat serius,” tegas Dr Mohammed Taufiq sambil menambah bahawa laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyiasat penyalahgunaan teknologi AI dalam cubaan menyebarkan fitnah serta pornografi palsu.

Selain itu, beliau juga akan membuat laporan polis bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dijalankan terhadap e-mel berkenaan yang dipercayai dihantar oleh kumpulan penipu atau ‘scammer’.

Insiden ini menambahkan lagi senarai wakil rakyat yang menjadi sasaran taktik kotor berasaskan teknologi AI, selepas Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan) dan Wong Chen (Subang) pernah berdepan pengalaman sama sebelum ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button