BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pusat hiburan tawar GRO RM10 sejam diserbu polis

NILAI – Seramai 11 warga Myanmar ditahan polis dalam satu serbuan ke sebuah pusat hiburan tanpa lesen di sini, dipercayai menawarkan pelayan pelanggan (GRO) dengan bayaran RM10 sejam.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Johari Yahya berkata, mereka yang ditahan di premis beroperasi di Taman Semarak 2 itu terdiri dua lelaki dan sembilan wanita berusia 19 hingga 53 tahun.

“Serbuan kira-kira 3.30 petang semalam dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.

“Siasatan awal mendapati premis berkenaan menjalankan operasi pusat hiburan dengan mengambil warga asing sebagai GRO serta mengenakan bayaran RM10 sejam bagi setiap GRO untuk menemani pelanggan di bilik karaoke,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, pemeriksaan lanjut mendapati warga asing terbabit menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja, selain beberapa individu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.

“Polis merampas pelbagai peralatan digunakan untuk menjalankan aktiviti hiburan, antaranya tablet pemilih lagu karaoke, mikrofon, sistem audio, televisyen, buku catatan perniagaan serta 49 tin minuman keras yang dipercayai tidak bercukai,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998, Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button