Polis bongkar aktiviti judi, sabung ayam di Gombak, wang tunai lebih RM145,000 dirampas
SUNGAI BULOH — Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini berjaya menumpaskan sindiket perjudian haram dan sabung ayam dalam Op Dadu Mega yang dilancarkan di kawasan hutan berhampiran Melwood Arena, Sungai Buloh dan Gombak, Selangor.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan dijalankan pada 11 Mei itu adalah hasil risikan berterusan oleh Bahagian D7 sejak Oktober 2024.
“Operasi disertai Unit Dron Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman, Unit K9 JSJ Bukit Aman serta Unit Veterinar dari Putrajaya dengan kekuatan 94 anggota.

“Seramai 124 individu ditahan dalam serbuan berkenaan yang terdiri daripada 46 warganegara Malaysia dan 78 warga Indonesia. Daripada jumlah tersebut, 120 adalah lelaki manakala empat merupakan wanita.
“Modus operandi sindiket ini ialah menjalankan aktiviti perjudian seperti sabung ayam dan permainan bola golek secara tertutup di kawasan terpencil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Namun, hasil risikan teliti dan koordinasi pasukan, kegiatan ini akhirnya berjaya digempur,” ujar beliau.
Antara rampasan dalam serbuan tersebut termasuk 52 ekor ayam hidup, tujuh ayam mati, 17 bilah senjata taji ayam buatan besi, satu alat penimbang berat, peralatan berkaitan permainan bola golek serta loteri awam tanpa lesen.
Turut dirampas wang tunai berjumlah RM145,855.
Menurut Datuk Fadil, pihak polis telah membuka beberapa kertas siasatan mengikut Seksyen 4A(a) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 32(1) dan 32(2) Akta Kebajikan Haiwan 2015 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah. Kami memberi amaran tegas bahawa tindakan keras akan diambil terhadap individu atau sindiket yang terbabit, termasuk mereka yang melanggar undang-undang berkaitan kebajikan haiwan dan imigresen,” tegasnya.
Pihak polis menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti saki-baki individu yang mungkin terlibat dalam sindiket itu.
Orang awam digesa untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis, terutamanya berkaitan aktiviti perjudian haram yang mungkin berlaku di kawasan masing-masing.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu kami mengekang kegiatan tidak bermoral seperti ini daripada terus menular.
“PDRM akan terus memperhebat usaha membanteras perjudian haram demi memastikan ketenteraman awam terpelihara,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








