Jakim mohon bantuan PDRM kesan lelaki mengaku ‘Imam Mahdi’
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memohon bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan seorang lelaki yang mendakwa dirinya ‘Imam Mahdi’, baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah itu merupakan susulan selepas usaha Jakim untuk memanggil individu yang mengaku Imam Mahdi bagi mengadakan perbincangan masih belum berhasil sehingga kini.
“Setakat ini belum jumpa lagi dan kita bekerjasama dengan pihak polis untuk mencari individu terbabit.
“Saya sendiri harapkan (sekiranya dapat ditemui) untuk berbincang sebab itu saya sudah arahkan pihak Jakim agar menghubungi pihak terbabit untuk berbincang.
“Langkah kedua kini terpaksa diambil iaitu memohon bantuan pihak polis untuk menghubungi pihak tersebut,” kata Dr Mohd Na’im.
Beliau ditemui selepas melancarkan Plan Transformasi Najjah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC), di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial berhubung kenyataan seorang lelaki dikenali sebagai Khairul Adha menyatakan dirinya sebagai Imam Mahdi.
Sehubungan itu, pada 1 Disember lalu, Jakim diarahkan untuk memanggil individu terbabit bagi tujuan untuk memberi nasihat atas kenyataan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















