BERITA SEMASA

206 sekolah di Kota Setar, Pendang jalani PdPR susulan gelombang haba

ALOR SETAR – Sebanyak 206 sekolah di daerah Kota Setar dan Pendang akan melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama tiga hari bermula esok susulan gelombang haba.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) yang merekodkan suhu harian Tahap Dua (gelombang haba) selama tiga hari berturut-turut di dua daerah tersebut sejak kelmarin.

“Sehubungan itu, selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan pengoperasian institusi pendidikan semasa cuaca panas, pelaksanaan PdPR akan dilaksanakan.

“Ia bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta warga sekolah sentiasa terpelihara,” kata JPN Kedah dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan PdPR melibatkan keseluruhan 206 sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar dan PPD Pendang.

“Sepanjang tempoh tersebut, sekiranya keadaan cuaca menunjukkan perubahan kepada tahap normal, maka pengoperasian sekolah secara bersemuka akan diteruskan semula pada hari berikutnya berdasarkan penilaian semasa.

“JPN Kedah akan terus memantau perkembangan cuaca semasa dan akan memaklumkan sebarang maklumat lanjut pengoperasian sekolah dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan penjaga dimohon memberi kerjasama sepenuhnya dalam memastikan kelancaran pelaksanaan PdPR demi kesejahteraan murid.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button