Gelombang haba ragut 2,700 nyawa di England, Wales
LONDON – Sekurang-kurangnya 2,700 orang maut di England dan Wales akibat gelombang haba yang melanda pada Mei dan Jun lalu, menurut satu kajian yang diterbitkan hari ini.
Kajian itu dijalankan oleh penyelidik dari Imperial College London, Met Office dan London School of Hygiene and Tropical Medicine dengan menggunakan data cuaca, model iklim serta analisis kadar kematian berlebihan ketika gelombang haba bagi menganggarkan jumlah korban.
United Kingdom (UK) dan sebahagian besar Eropah mengalami dua gelombang haba luar biasa sepanjang tempoh berkenaan, dengan suhu tertinggi bulanan di England masing-masing mencecah 35.1 darjah Celsius pada Mei dan 37.7 darjah Celsius pada Jun.
Pengurus Sains Pasukan Atribusi Pejabat Iklim, Mark McCarthy berkata, gelombang haba itu dianggap luar biasa kerana berlaku lebih awal daripada kebiasaan selain melibatkan hampir seluruh Eropah Barat.
“Ia merupakan gelombang haba yang ekstrem bagi UK dan kebanyakan kawasan di Eropah Barat, selain luar biasa kerana berlaku pada awal tahun,” katanya.
Kajian itu menganggarkan kira-kira 550 kematian berlaku antara 21 hingga 29 Mei, manakala hampir 2,200 lagi direkodkan sepanjang tempoh 18 hingga 28 Jun.
Menurut penyelidik, perubahan iklim menjadi faktor utama yang menyebabkan gelombang haba semakin kerap dan lebih ekstrem.
Mereka menganggarkan suhu maksimum pada waktu siang meningkat antara tiga hingga empat darjah Celsius berbanding keadaan yang dijangka berlaku tanpa kesan pemanasan global.
Sementara itu, Ketua Pusat Iklim dan Keselamatan Kesihatan Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA), Lea Berrang Ford berkata, dapatan kajian tersebut menunjukkan skala risiko akibat cuaca panas melampau serta ancaman perubahan iklim terhadap kesihatan awam.
UKHSA dijangka mengeluarkan anggaran rasmi kematian berkaitan gelombang haba dalam tempoh beberapa minggu akan datang berdasarkan rekod kematian semasa.
Pada tahun lalu, Jawatankuasa Perubahan Iklim (CCC), badan penasihat kerajaan UK mengenai perubahan iklim, memberi amaran negara itu masih belum bersedia menghadapi kesan perubahan iklim.
Dalam laporan yang diterbitkan pada Mei lalu, CCC menganggarkan sebanyak 92 peratus kediaman di Britain berisiko menjadi terlalu panas menjelang 2050.
Jawatankuasa itu turut mengesyorkan kerajaan menetapkan had maksimum suhu di tempat kerja selain meningkatkan pelaburan dalam sistem penyaman udara di bangunan awam seperti hospital dan sekolah bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat cuaca panas melampau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








