BERITA SEMASA

Dua kod baharu ONSA lindungi kanak-kanak daripada ancaman memudaratkan di alam siber

KUCHING – Penerbitan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) iaitu Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) merupakan satu penanda aras penting dalam usaha berterusan kerajaan untuk membina persekitaran digital yang lebih selamat, inklusif dan beretika.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penerbitan kedua-dua kod tersebut penting dalam melindungi golongan kanak-kanak serta pengguna rentan daripada ancaman kandungan memudaratkan di alam siber.

Beliau berkata, langkah proaktif berkenaan merupakan hasil sesi libat urus dan rundingan awam yang dijalankan secara menyeluruh bersama pemain industri, organisasi masyarakat sivil serta pelbagai pihak berkepentingan sejak awal tahun ini.

“Pelaksanaan CPC dan RMC yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun ini menetapkan jangkaan serta tanggungjawab lebih jelas kepada penyedia perkhidmatan digital dalam menangani risiko keselamatan dalam talian.

“Antara fokus utama kod tersebut ialah penerapan prinsip keselamatan melalui binaan atau safety by design, termasuk pelaksanaan mekanisme kawalan umur dan sekatan terhadap akaun digital melibatkan pengguna di bawah umur 16 tahun.

“Inisiatif itu juga dilihat mampu memperkukuh pertahanan negara terhadap ancaman eksploitasi digital selain memberi keyakinan dan ketenangan kepada ibu bapa dalam memastikan keselamatan anak-anak ketika melayari dunia siber yang semakin kompleks,” katanya.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Peringkat Kuching.

Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menghimpunkan lebih 500 pengunjung terdiri daripada komuniti setempat, murid sekolah serta pelajar institusi pengajian tinggi.

Dalam pada itu katanya, kerajaan komited untuk terus memperkasakan perlindungan digital menerusi kerjasama erat antara pihak berkuasa, industri dan masyarakat demi mewujudkan ruang dalam talian yang lebih selamat untuk seluruh rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut katanya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), trend kes penipuan dalam talian menunjukkan peningkatan yang sangat membimbangkan di mana pada tahun 2024 sebanyak 35,470 kes direkodkan dengan nilai kerugian mencecah RM1.5 bilion.

Katanya, angka itu melonjak lebih dua kali ganda pada tahun 2025 kepada 74,744 kes dengan jumlah kerugian drastik sebanyak RM2.9 bilion.

“Manakala bagi tahun ini, iaitu bagi tempoh empat bulan pertama sahaja (Januari hingga April), sebanyak 23,367 kes penipuan dalam talian telah dilaporkan dengan kerugian RM680.3 juta.

“Ancaman ini tidak terhad kepada kerugian wang ringgit sahaja, malah merasuki ruang media sosial kita melalui penyebaran kandungan negatif seperti buli siber, kandungan jelik, perjudian, dan berita palsu.

“Malah, isu buli siber dan gangguan dalam talian juga amat kritikal dengan menyaksikan 59,290 permohonan dibuat oleh MCMC dari tahun 2022 hingga April 2026, di mana 44,676 daripadanya telah diturunkan oleh platform demi melindungi emosi dan keselamatan pengguna,” katanya.

Sementara itu menyentuh mengenai program tersebut katanya, lebih daripada 20 agensi dan rakan strategik turut mengambil bahagian menerusi pelbagai aktiviti interaktif seperti demonstrasi keselamatan siber, simulasi penipuan dalam talian serta khidmat nasihat berkaitan keselamatan internet.

Menurutnya, sejak dilancarkan pada Januari lalu, Kempen Internet Selamat telah menjangkau lebih 1.8 juta peserta di seluruh negara menerusi pelbagai program lapangan dan inisiatif kesedaran digital.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button