HIBURAN

Salih Yaacob akui tujuh tahun tidak bekerja, syukur rezeki tidak pernah putus

KUALA LUMPUR – Penghibur veteran, Salih Yaacob mengakui sudah hampir tujuh tahun tidak aktif dalam industri seni dan hiburan sehingga terpaksa menggunakan keseluruhan wang simpanannya untuk meneruskan kehidupan.

Bagaimanapun, Salih atau nama sebenarnya Mohammad Salih Yaacob, 65, berkata beliau tetap bersyukur kerana keperluan asas keluarganya masih mencukupi meskipun tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

Menurut bekas penyampai radio itu, beliau kini menjalani kehidupan secara sederhana dan menerima apa sahaja bantuan atau rezeki yang datang.

“Dulu ada tawaran kerja, tetapi sekarang apa yang orang beri itulah rezeki saya. Saya hidup ala kadar sahaja.

“Semua simpanan sudah habis digunakan. Alhamdulillah, saya masih mampu bertahan. Sudah tujuh tahun saya tidak bekerja tetapi bekalan beras di rumah tidak pernah putus kerana sentiasa ada pihak yang membantu,” katanya ketika memetik laporan Kosmo! Online.

Salih ditemui pada Program Ziarah Seni MADANI anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), kelmarin.

Menurut Salih yang berdepan masalah tekanan darah tinggi, beliau tidak pernah merasakan dirinya berada dalam kesempitan hidup kerana sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki.

“Saya tidak pernah rasa terlalu susah atau tertekan. Saya juga tidak mahu menyusahkan isteri-isteri saya. Apa yang ada, itulah yang kami gunakan,” katanya.

Dalam program tersebut, Salih menerima kunjungan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yang menyampaikan bantuan berupa bakul makanan dan sumbangan tunai sebagai tanda sokongan terhadap keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

Turut hadir ialah Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS merangkap Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi.

Sementara itu, Teo berkata pihaknya mengambil inisiatif menziarahi Salih selepas dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan penghibur berkenaan yang semakin membataskan pergerakannya.

“Kami berharap sumbangan ini dapat memberi sedikit semangat kepada beliau untuk terus positif dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

“Apabila mendapat maklumat mengenai masalah kesihatannya termasuk tekanan darah tinggi, penglihatan yang semakin lemah dan pergerakan yang terbatas, FINAS mengambil langkah untuk menziarahinya,” katanya.

Menurut beliau, seramai 36 penggiat seni menerima bantuan menerusi Program Ziarah Seni MADANI pada tahun ini.

Sejak diperkenalkan pada 2023, program tersebut telah memberi manfaat kepada 216 penggiat seni dengan jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan mencecah RM164,000.

Sebelum ini, Salih dilaporkan menerima rawatan di Hospital Ampang selepas mengalami komplikasi akibat tekanan darah tinggi.

Sepanjang kerjayanya dalam dunia hiburan, Salih dikenali sebagai pelakon, pengacara dan penyampai radio yang pernah mewarnai industri seni tanah air selama beberapa dekad.

Beliau dikurniakan 12 orang anak dan 18 cucu hasil perkahwinannya. Kini, beliau masih hidup bersama tiga isterinya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button