Bas persiaran tersangkut bawah jejambat selepas ikut Waze
BUTTERWORTH – Sebuah bas persiaran membawa lebih 30 penumpang dari Johor tersangkut di bawah jejambat di Taman Bagan di sini malam tadi selepas pemandunya dipercayai mengikuti panduan aplikasi navigasi Waze.
Kejadian itu menyebabkan hampir separuh bahagian badan bas tersangkut di bawah jejambat berkenaan, selain beberapa cermin tingkap pecah dan serpihan kaca bertaburan di atas jalan raya.
Dua penumpang turut dilaporkan mengalami kecederaan ringan selepas terkena serpihan kaca, namun keadaan mereka dilaporkan stabil.
Pemandu bas yang hanya mahu dikenali sebagai Razali berkata, beliau membawa penumpang ke sebuah hotel berhampiran sebelum meneruskan perjalanan ke Kedah hari ini.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika beliau bergantung kepada aplikasi Waze yang didakwa mengarahkannya melalui laluan berkenaan tanpa mengambil kira had ketinggian jejambat.
“Saya terdengar bunyi dentuman yang kuat ketika memandu di bawah jejambat. Beberapa saat kemudian, cermin bas pecah dan serpihan kaca bertaburan di mana-mana.
“Saya sangat terkejut dengan apa yang berlaku,” memetik Metro online.
Razali berkata, beliau pernah ke Butterworth beberapa kali sebelum ini, namun kejadian itu adalah kali pertama melalui laluan bawah jejambat di Taman Bagan berdasarkan panduan aplikasi berkenaan.
“Keadaan persekitaran yang malap serta tidak biasa dengan kawasan terbabit menyebabkan beliau bergantung sepenuhnya kepada arahan navigasi tersebut,” katanya.
Tinjauan media di lokasi mendapati laluan bawah jejambat itu mempunyai papan tanda had ketinggian 2.6 meter selain papan tanda amaran yang menunjukkan kawasan berkenaan kerap berlaku kemalangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








