LUAR NEGARA

Hakim gugurkan saman Trump AS$10 bilion terhadap Wall Street Journal

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump gagal meneruskan saman fitnah bernilai AS$10 bilion (RM42 bilion) terhadap akhbar The Wall Street Journal (WSJ) berhubung laporan mengenai surat berunsur seksual yang dikaitkan dengannya dalam buku hari lahir Jeffrey Epstein pada 2003.

Menurut laporan BBC News, Hakim Mahkamah Daerah AS, Darrin Gayles menolak saman itu dengan menyifatkan hujah yang dikemukakan pihak Trump sebagai usaha mencari-cari alasan yang tidak kukuh untuk mencabar laporan berkenaan.

Keputusan itu dibuat selepas Trump mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat induk WSJ, Dow Jones serta pemilik media Rupert Murdoch susulan penerbitan laporan mengenai surat yang didakwa ditulis oleh Trump untuk Epstein, seorang pembiaya yang disabitkan kesalahan seksual.

Trump menafikan menulis atau menandatangani surat berkenaan yang dilaporkan mengandungi bahasa berunsur seksual serta lakaran bentuk tubuh seorang wanita.

Dalam penghakiman setebal 20 halaman, Gayles berkata, siasatan akhbar itu sebelum menerbitkan laporan berkenaan dilakukan secara teliti dan terperinci.

Beliau turut memutuskan bahawa pasukan guaman Trump gagal membuktikan unsur niat jahat sebenar (actual malice) dalam penerbitan laporan itu, iaitu syarat penting bagi membuktikan tuntutan fitnah melibatkan tokoh awam di bawah undang-undang AS.

Prinsip actual malice memerlukan bukti bahawa pihak penerbit mengetahui kenyataan yang disiarkan itu palsu atau bertindak dengan mengabaikan secara melulu persoalan sama ada kenyataan tersebut benar atau sebaliknya.

Hakim berkenaan turut menegaskan bahawa tindakan Trump menafikan surat itu ketika dihubungi pihak akhbar tidak bermakna WSJ perlu mengetepikan hasil siasatannya dan membatalkan penerbitan laporan tersebut.

Menurut Gayles, tafsiran sedemikian bercanggah dengan Pindaan Pertama Perlembagaan AS yang melindungi kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara.

Beliau memberi amaran bahawa jika penafian seseorang tokoh awam sudah memadai untuk menghalang penerbitan sesuatu laporan, wartawan akan berdepan kesukaran untuk menyiarkan maklumat yang bercanggah dengan kenyataan individu berkenaan.

Sebelum ini, Gayles pernah menolak saman fitnah Trump yang menuntut ganti rugi AS$20 bilion (RM81 bilion). Pasukan guaman Trump kemudian memfailkan semula saman itu dengan tuntutan AS$10 bilion.

Kali ini, saman berkenaan ditolak with prejudice, bermakna tuntutan sama tidak boleh difailkan semula di mahkamah yang sama berdasarkan asas tuntutan tersebut.

Laporan WSJ mengenai buku hari lahir Epstein yang ke-50 itu mencetuskan perhatian ketika pentadbiran Trump berdepan kritikan daripada anggota kedua-dua parti politik utama AS berhubung pengendalian dokumen berkaitan Epstein.

Menurut laporan WSJ, surat yang memaparkan nama Trump itu mengandungi beberapa baris teks bertaip yang dikelilingi lakaran seorang wanita tanpa pakaian yang dipercayai dilukis menggunakan pen penanda tebal.

Trump sebelum ini mendakwa akhbar itu memfitnahnya dan melanggar undang-undang fitnah dengan menerbitkan laporan berkenaan. Beliau juga menuduh pihak yang dinamakan dalam saman itu mereka-reka cerita berkenaan untuk mencemarkan reputasinya.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa dakwaan pihak Trump tidak memenuhi syarat undang-undang untuk membuktikan bahawa penerbitan tersebut dibuat dengan niat jahat sebenar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button