Lima wanita Australia dibenar saman Qatar Airways
SYDNEY – Mahkamah Persekutuan Australia membenarkan tindakan saman kepada lima wanita Australia yang mendakwa dipaksa turun dari pesawat Qatar Airways sebelum menjalani pemeriksaan tubuh secara intim di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha pada tahun 2020.
Keputusan itu diumumkan oleh Ketua Hakim Persekutuan, Angus Stewart yang berpendapat hakim terdahulu, John Halley telah melakukan kesilapan apabila menolak tuntutan saman terhadap Qatar Airways tanpa melalui perbicaraan penuh.
Insiden berkenaan berlaku pada Oktober 2020 apabila wanita berkenaan diarahkan keluar dari pesawat dalam perjalanan ke Sydney oleh pengawal bersenjata dan dibawa ke ambulans di lapangan terbang berkenaan.
Empat daripada mereka kemudiannya menjalani pemeriksaan tubuh termasuk tiga yang dikatakan bersifat invasif, tanpa sebarang persetujuan.
Pemeriksaan itu dilakukan susulan siasatan tempatan selepas penemuan seorang bayi yang ditinggalkan dalam bilik air lapangan terbang. Bayi tersebut dilaporkan selamat.
Kejadian tersebut mencetuskan kecaman antarabangsa dan membawa kepada tindakan saman terhadap tiga entiti iaitu Qatar Airways Group, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Qatar (QCAA) dan Matar iaitu syarikat pengendali lapangan terbang Qatar.
Tindakan undang-undang itu dibuat atas dakwaan kecuaian, pencerobohan privasi, pemenjaraan salah dan kekasaran fizikal.
Sebelum itu, tuntutan saman terhadap Qatar Airways ditolak atas alasan kakitangan syarikat penerbangan itu tidak mempunyai kuasa ke atas tindakan pihak berkuasa Qatar.
QCAA pula didapati mempunyai kekebalan undang-undang kerana menjalankan fungsi rasmi negara dan mahkamah hanya membenarkan saman terhadap Matar.
Bagaimanapun, dalam keputusan terbaharu, Hakim Stewart menyatakan bahawa tiada kepastian mutlak untuk menyimpulkan bahawa insiden pemeriksaan yang berlaku di dalam ambulans itu bukan sebahagian daripada operasi naik atau turun dari pesawat dan perkara tersebut wajar diputuskan dalam perbicaraan bukan secara ringkasan.
Beliau turut menyatakan bahawa permohonan Matar untuk menggugurkan saman adalah tidak wajar ditolak dan isu sama ada jururawat yang melakukan pemeriksaan adalah kakitangan Matar masih terbuka untuk dipertikai dalam perbicaraan kelak.
Mahkamah juga memutuskan bahawa Qatar Airways dan Matar perlu membayar kos rayuan.
Namun begitu, rayuan terhadap QCAA ditolak apabila mahkamah mendapati pihak berkuasa itu bertindak dalam kapasiti rasmi kerajaan Qatar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








