Mayat wanita dalam beg: Lelaki didakwa bunuh, kes ke Mahkamah Tinggi
TAMPIN – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita, Suri Narudin, yang mayatnya ditemukan tertanam di belakang sebuah rumah, awal bulan ini.
Tertuduh, Zainizan Zainal, 51, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali, lapor Bernama.
Namun, mahkamah tidak merekodkan sebarang pengakuan berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Zainizan didakwa membunuh Suri, 53, di kawasan belakang sebuah rumah di Jalan Pedas–Linggi, Rembau, antara 7 hingga 18 Disember lalu.
Lelaki itu hadir tanpa diwakili peguam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi, tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.
Mahkamah menetapkan 27 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan forensik dan bedah siasat.
Sebelum ini, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, dilaporkan berkata, mayat wanita yang ditemukan dalam beg ditanam di belakang rumah itu dipercayai milik seorang wanita yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor, sejak 8 Disember lalu.
Hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 51 dan 41 tahun untuk membantu siasatan.
Polis kemudian mengesahkan identiti mayat sebagai Suri Narudin selepas pemeriksaan cap jari mendapati padanan dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






