JENAYAH & MAHKAMAH

Kes penemuan rangka manusia: Dua beradik didakwa bunuh lelaki di ladang sawit Kangkar Pulai

JOHOR BAHRU – Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam kes melibatkan penemuan rangka manusia di sebuah ladang sawit di Kangkar Pulai, September tahun lalu.

Tertuduh, R Arasan, 32, yang hadir ke mahkamah bersama abangnya, R Utes, 36, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam, namun mahkamah tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama membunuh V Thamil Selvan, 28, di sebuah rumah tidak bernombor dalam kawasan ladang kelapa sawit di Kangkar Pulai antara pukul 12.30 tengah malam hingga 4 pagi pada 15 September 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta maksimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan dan tidak dijatuhi hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohd Hamizi Mohd Yusof dan Mohamad Isa Mohamad Basir, memetik laporan Metro Online.

Mahkamah menetapkan 6 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, toksikologi dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Tiada jaminan dibenarkan terhadap kedua-dua tertuduh.

BACA: https://malaysiatribune.news/jenayah-mahkamah/kes-penemuan-rangka-manusia-dua-lelaki-didakwa-bunuh-enam-sekeluarga-hari-ini/

BACA: https://malaysiatribune.news/jenayah-mahkamah/polis-temukan-rangka-enam-individu-dipercayai-mangsa-pembunuhan/

BACA: https://malaysiatribune.news/jenayah-mahkamah/lima-beranak-maut-dibunuh-dalam-kebun-sawit/

Terdahulu, dua lelaki warga tempatan itu yang juga suspek utama dalam kes penemuan rangka manusia termasuk lima beranak di sebuah rumah terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis dan diiringi anggota keselamatan serta pegawai penyiasat.

Difahamkan, kedua-dua tertuduh mempunyai hubungan sebagai rakan kepada dua mangsa dewasa dalam kes berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 9 Januari lalu oleh suami kepada salah seorang mangsa selepas seorang lelaki menemui rangka manusia ketika mencari isteri dan anaknya yang dilaporkan hilang.

Hasil pemeriksaan forensik mendapati enam mangsa terdiri daripada seorang wanita dewasa, seorang remaja, empat kanak-kanak serta seorang lelaki dewasa dipercayai meninggal dunia lebih tiga bulan sebelum ditemukan.

Susulan siasatan, polis menahan empat suspek warga tempatan berusia antara 19 hingga 35 tahun di sekitar Iskandar Puteri, dengan tiga daripada mereka didapati positif dadah selain mempunyai rekod jenayah lampau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button