JENAYAH & MAHKAMAH

Permohonan Siti Bainun tangguh hukum ditolak, kekal dipenjara

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun berhubung kes mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali Bella.

Hakim, Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian selepas menolak permohonan daripada pihak pembelaan yang diwakili peguam Ahmad Faiz Munawar.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Ahmad berkata, mahkamah mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk membenarkan penangguhan hukuman berkenaan.

“Setelah meneliti affidavit dan hujahan, mahkamah memutuskan isu-isu yang dihujahkan oleh pembelaan tidak dapat menunjukkan alasan keadaan luar biasa.

“Oleh itu, permohonan pemohon untuk gantung hukuman ditolak,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Dalam prosiding terdahulu, Ahmad Faiz berhujah bahawa, anak guamnya mempunyai penyakit hempedu selain tahap kesihatannya semakin merudum sejak dimasukkan ke dalam penjara pada 3 Mei lepas.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad berkata, tiada laporan terperinci yang menyatakan tahap kesihatan Siti Bainun semakin merosot.

Dengan keputusan itu bermakna wanita berusia 31 tahun itu kekal dipenjarakan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button