PMX

Putin setuju mekanisme khas perkukuh hubungan Malaysia-Rusia – Anwar

NEW DELHI – Presiden Rusia, Vladimir Putin bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk menubuhkan mekanisme khas bagi menyelaras dan mempercepat pelaksanaan semua kesepakatan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dua hala bersama Putin sebaik tiba di New Delhi sempena Sidang Kemuncak BRICS Ke-18.

Menurut beliau, pertemuan itu turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak menilai kemajuan hubungan Malaysia-Rusia serta menetapkan beberapa langkah konkrit bagi memperkukuh kerjasama kedua-dua negara.

“Pertemuan yang bermula sekitar pukul 11 malam itu berlangsung dalam suasana persahabatan serta memberi ruang untuk kami menilai kemajuan hubungan Malaysia-Rusia dan menetapkan beberapa langkah konkrit bagi memperkukuh kerjasama kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan.

Anwar berkata, beliau turut membangkitkan keperluan mempercepat usaha merealisasikan penerbangan terus antara Malaysia dan Rusia serta kemudahan perjalanan tanpa visa seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.

Katanya, kedua-dua kemudahan itu penting bagi merancakkan pelancongan, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Rusia.

“Saya turut menyatakan penghargaan atas dukungan Rusia terhadap kerjasama tenaga bersama Malaysia. Kedua-dua negara mempunyai kekuatan dan kepakaran yang boleh digembleng untuk memperluas kerjasama dalam sektor strategik ini demi kepentingan bersama,” katanya.

Menurut Anwar, perbincangan turut menyentuh peningkatan kemasukan minyak sawit Malaysia ke pasaran Rusia, selain meneroka usaha untuk menggandakan nilai perdagangan antara kedua-dua negara.

“Yang lebih utama, setiap persetujuan yang dicapai mesti segera diterjemahkan kepada pelaksanaan. Justeru, saya mencadangkan penubuhan mekanisme khas antara Malaysia dan Rusia bagi menyelaras serta mempercepat pelaksanaan semua kesepakatan, dan cadangan ini telah dipersetujui oleh Presiden Putin,” katanya.

Pada penghujung pertemuan itu, Anwar turut menyampaikan semula undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepada Putin untuk mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia.

“Insya-Allah, lawatan ini kelak akan membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Rusia yang semakin erat, matang dan saling menguntungkan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button