BERITA SEMASA

Tiada dwistandard dalam pembebasan menerusi PBSL – Jabatan Penjara

KUALA LUMPUR – Dakwaan pembebasan menerusi Program Pembebasan Banduan Berlesen (PBSL) diberikan atas layanan berbeza atau wujud dwistandard adalah tidak tepat, tegas Jabatan Penjara Malaysia.

Menurut Jabatan Penjara, setiap pertimbangan PBSL dibuat berdasarkan kelayakan, penilaian dan proses yang ditetapkan tanpa mengira latar belakang, kedudukan, status atau pengaruh seseorang.

Jabatan Penjara berkata, PBSL merupakan salah satu mekanisme Pemulihan Dalam Komuniti yang dilaksanakan secara berstruktur bagi prospek yang memenuhi syarat dan kriteria kelayakan ditetapkan.

“PBSL bukan penghapusan, pemendekan atau pengurangan hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah. Prospek yang diberikan PBSL masih menjalani baki tempoh hukuman, namun pelaksanaannya diteruskan dalam komuniti tertakluk kepada syarat, peraturan, pengawasan dan pemantauan Jabatan Penjara Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, isu pembebasan bekas Menteri Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony kembali menjadi perhatian minggu ini susulan perdebatan mengenai permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Semalam, bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengambil pendirian bahawa individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya membabitkan kes berprofil tinggi perlu menjalani hukuman penuh yang dijatuhkan mahkamah.

Berhubung pelepasan Peter Anthony, Jabatan Penjara Malaysia menegaskan bahawa pertimbangan untuk mengikuti PBSL dibuat setelah beliau mencapai tempoh kelayakan yang ditetapkan serta melalui proses tapisan dan penilaian sebagaimana yang dikenakan terhadap prospek lain yang dipertimbangkan bagi program berkenaan.

“Pelepasan beliau melalui PBSL dengan itu tidak bermaksud baki hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah diketepikan. Sebaliknya, beliau terus menjalani baki tempoh hukuman dalam komuniti dan kekal tertakluk kepada syarat, peraturan serta pemantauan yang ditetapkan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Jabatan Penjara berkata, untuk dipertimbangkan mengikuti PBSL, seseorang prospek perlu terlebih dahulu memenuhi syarat kelayakan, termasuk telah menjalani sekurang-kurangnya satu pertiga daripada tempoh hukuman.

Walau bagaimanapun, pemenuhan tempoh berkenaan tidak memberikan kelayakan secara automatik untuk seseorang prospek diberikan PBSL.

“Setiap prospek perlu melalui proses saringan dan penilaian yang mengambil kira antaranya sahsiah dan tingkah laku sepanjang menjalani hukuman, tahap kepulihan, penyertaan dalam Program Pembangunan Insan, kesediaan kembali ke komuniti, sokongan keluarga, kesesuaian penempatan, peluang pekerjaan serta keperluan pemantauan selepas pelepasan,” katanya.

Menurut Jabatan Penjara lagi, penilaian dan pertimbangan PBSL di peringkat Ibu Pejabat Penjara Malaysia seterusnya dibuat melalui Jawatankuasa PBSL yang dipengerusikan oleh Komisioner Jeneral Penjara serta dianggotai pegawai-pegawai kanan dan wakil agensi berkaitan.

“Mekanisme ini memastikan setiap pertimbangan dibuat berdasarkan kelayakan dan hasil penilaian terhadap prospek, selaras dengan proses yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara Malaysia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button