Hina Agong di Facebook: Pengawal keselamatan dipenjara lapan bulan, denda RM50,000
KUCHING – Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi akaun Facebook miliknya tahun lalu.
Hakim Iris Awen Jon menjatuhkan hukuman itu terhadap Raden Mohamad Norhakim, 46, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjarakan selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Selain itu, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa mulai hari ini serta telefon bimbit yang digunakan dalam kesalahan tersebut dilucut hak kepada kerajaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik menggunakan akaun Facebook ‘Raden Mohamad Norhakim’ di sebuah kondominium berhampiran Lorong Lapangan Terbang, di sini pada pukul 7.27 pagi, 12 Februari 2025.
Kandungan hantaran itu didakwa mengandungi tuduhan bahawa Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Islam di Malaysia gagal bertindak tegas terhadap pihak yang menghina agama Islam, selain turut mengandungi ungkapan berbaur penghinaan terhadap pemimpin negara.
Menurut fakta kes, hantaran berkenaan dikesan pada hari sama oleh seorang Penolong Pengarah Jabatan Moderasi Kandungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang bertugas di Cyberjaya, Selangor.
Laporan kemudiannya dibuat selepas kandungan tersebut didapati mempunyai unsur penghinaan melampau.
Siasatan lanjut membawa kepada serbuan yang dijalankan pegawai MCMC pada 17 Jun lalu sebelum mendapati akaun Facebook milik tertuduh masih aktif pada telefon bimbitnya dan berjaya mendapatkan semula hantaran berkenaan.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan alasan dia terpengaruh dengan perbincangan dan komen yang dibaca di media sosial.
“Saya menyesali perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” katanya memetik laporan Suara Sarawak.
Beliau turut mengakui insiden tersebut memberi pengajaran kepadanya supaya lebih berhati-hati ketika mengulas isu sensitif di platform media sosial.
Ketika menyampaikan keputusan, Hakim Iris menegaskan bahawa kesalahan yang melibatkan kepentingan awam perlu dipandang serius.
Beliau turut mengingatkan bahawa permohonan maaf tertuduh seharusnya ditujukan kepada seluruh rakyat Malaysia serta Yang di-Pertuan Agong.
“Anda perlu meminta maaf kepada rakyat Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong. Tiada gunanya meminta maaf kepada mahkamah kerana kesannya telah berlaku,” katanya.
Sementara itu, pegawai pendakwa MCMC, Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial.
Menurut beliau, kenyataan yang dimuat naik tertuduh bukan sahaja menghina Yang di-Pertuan Agong, malah berpotensi menjejaskan keharmonian negara sekiranya dibiarkan tanpa tindakan sewajarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







