BERITA SEMASA

Capaian internet di kawasan DUN Ayer Kuning kini lebih baik

TAPAH – Isu capaian internet lemah di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berjaya ditangani oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurut pengamal media dan petugas pilihan raya yang bertugas di kawasan tersebut, capaian internet kini menunjukkan peningkatan dengan sambungan yang lebih stabil berbanding sebelum ini, sekali gus memudahkan urusan liputan.

“Alhamdulillah, internet di sini baik-baik sahaja ketika saya membuat liputan, tak ada sangkut-sangkut,” kata Wan Zahari Wan Salleh, yang membuat liputan di hari penamaan calon di PRK Air Kuning, menurut Malaysia Dateline.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzilmengarahkan semua syarikat telekomunikasi untuk mengemukakan penyelesaian terhadap masalah capaian internet lemah termasuk di kawasan DUN Ayer Kuning.

Susulan itu, MCMC telah mengambil tindakan segera mengenai masalah liputan Internet dan telekomunikasi yang tidak memuaskan di 27 lokasi dalam kawasan tersebut.

MCMC berkata, beberapa langkah proaktif telah diambil oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan DUN Ayer Kuning dan lokasi tumpuan Pilihan Raya Kecil (PRK) berada pada tahap memuaskan.

Jelas MCMC, beberapa lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan keutamaan, termasuk Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah, 21 Pusat Mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning, Pusat Media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning dan NADI PPR Sri Bidor.

“Semua penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan terkini yang ditambah baik kepada MCMC,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah MCMC dalam kenyataan itu, antara inisiatif penambahbaikan yang telah dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada, pemasangan pemancar sementara dan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button