‘Perlis Connect’ lonjak literasi digital, perkasa usahawan tempatan
PADANG BESAR – Usaha memperluas kesedaran digital, memperkasa pengguna serta menyokong ekosistem inovasi dan keusahawanan tempatan menjadi fokus utama program flagship ‘Perlis Connect’ yang berlangsung meriah di Padang Besar Street, di sini semalam.
Hampir 2,000 pengunjung hadir menyaksikan acara yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sekali gus menjadikan Padang Besar sebagai pusat tumpuan teknologi, komunikasi dan keusahawanan digital.

Dalam satu kenyataan bersama, Bernama dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, program itu menampilkan pelbagai inisiatif interaktif bagi mendedahkan masyarakat kepada kemajuan teknologi komunikasi.
“Ini termasuklah sesi penerangan perkhidmatan perayauan antarabangsa, kempen keselamatan siber melalui Kempen Internet Selamat (KIS), demonstrasi aplikasi MCMC NEXUS serta pameran dan jualan produk tempatan oleh usahawan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI),” kata kenyataan tersebut.
Pada majlis itu juga, orang ramai berpeluang mengunjungi Kaunter Aduan MCMC untuk membuat laporan, mendapatkan khidmat nasihat serta mengakses maklumat berkaitan perkhidmatan komunikasi iaitu usaha yang secara langsung mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) turut menyumbang kepakaran editorial melalui liputan berita, sesi temu bual langsung serta siaran daripada Studio Bergerak BERNAMA, sekali gus membantu memperluas jangkauan kisah kejayaan usahawan tempatan ke peringkat nasional.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Ahli Suruhanjaya MCMC, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (B) serta Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Nur-ul Afida Kamaludin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








