Jemaah Menteri secara dasar setuju naik had umur pengguna media sosial kepada 16 tahun
PUTRAJAYA – Jemaah Menteri hari ini bersetuju secara dasar dengan cadangan menaikkan had umur pengguna media sosial di negara ini kepada 16 tahun, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam pertemuan pihak berkuasa berkaitan bersama pengendali platform media sosial dan e-dagang di Singapura minggu depan.
Perbincangan itu katanya akan melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan turut dihadiri wakil daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Siasatan Jenayah juga wakil dari Pusat Pencegahan Jenayah Nasional (NFCC) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC).
“Jemaah Menteri telah bincang hasrat kerajaan untuk menaikkan had umur pengguna media sosial. Sebelum ini kita sebut tentang 13 tahun tetapi Jemaah Menteri telah bercadang untuk naikkan kepada 16 tahun.
“Cara had umur ini dikuatkuasakan melalui pendaftaran berdasarkan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport, dan juga melalui MyDigital ID,” katanya dalam sidang media mingguan hari ini.
Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata,
Malaysia bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan sistem pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi melindungi golongan kanak-kanak.
Beliau berkata, langkah itu juga bertujuan memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan platform terlibat benar-benar dikuat kuasa.
Cadangan tersebut dikemukakan berikutan kebimbangan yang timbul kebelakangan ini melibatkan pelajar sekolah, khususnya berkaitan pengaruh media sosial.
Insiden terbaharu membabitkan seorang pelajar berusia 16 tahun yang maut akibat ditikam oleh rakan sekolahnya berumur 14 tahun di sebuah sekolah di Petaling Jaya menimbulkan keresahan masyarakat.
Polis tidak menolak kemungkinan perbuatan suspek mempunyai kaitan dengan pengaruh media sosial dan permainan video.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment