KEMENTERIAN KOMUNIKASI

Penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen bukti langkah besar reformasi institusi

PUTRAJAYA – Penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen disifatkan sebagai satu usaha reformasi institusi yang besar, selain menunaikan janji kerajaan dalam memperkukuh demokrasi negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, menerusi penubuhan majlis itu, Parlimen Malaysia akan berada di bawah tanggungjawab Majlis Perkhidmatan Parlimen, manakala pihak eksekutif tidak lagi mempunyai kuasa terhadap institusi berkenaan.

“Dengan terbentuknya Majlis Perkhidmatan Parlimen, Parlimen Malaysia akan berada di bawah tanggungjawab majlis itu dan pihak eksekutif tiada kuasa terhadap Parlimen.

“Ini telah menunaikan salah satu janji dan usaha reformasi institusi yang sangat besar dan dengan cara ini demokrasi akan mekar di negara kita.

“Semestinya ada perkara yang perlu diteliti, tetapi bidang kuasa Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan di bawah tanggungjawab Majlis Perkhidmatan Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pascamesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Baca juga : Jerebu: Tiada pembakaran dalam konsesi sawit syarikat Malaysia di Indonesia – Fahmi

Dewan Rakyat kelmarin meluluskan usul pelantikan empat Ahli Parlimen, iaitu masing-masing dua wakil kerajaan dan pembangkang untuk menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen.

Mewakili kerajaan adalah Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad.

Pembangkang pula terdiri daripada Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan pindaan berkaitan terhadap Perlembagaan Persekutuan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu, sekali gus mengembalikan perkhidmatan khusus Parlimen, 34 tahun selepas undang-undang terdahulu dimansuhkan pada 1992.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button