BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Malaysia kekal teguh sokong hak Palestin

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia menegaskan pendirian yang konsisten dalam sokongan terhadap hak rakyat Palestin untuk memiliki sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk menandatangani kenyataan bersama yang sedang dirangka di PBB berkaitan konflik di Gaza termasuk cadangan agar Hamas meletakkan senjata dan menamatkan pemerintahannya di wilayah tersebut.

“Kita sedang meneliti dokumen tersebut secara menyeluruh dan Wisma Putra telah diminta untuk mengambil sedikit masa sebelum memberikan sebarang komitmen rasmi,” katanya dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Menurut beliau, kenyataan bersama yang dicadangkan itu adalah hasil koordinasi antara Arab Saudi dan Perancis dan telah dibentangkan dalam satu mesyuarat khas PBB baru-baru ini.

“Antara perkara yang terkandung dalam draf kenyataan tersebut termasuk gesaan terhadap Hamas dan beberapa komponen lain.

“Namun, pendirian Malaysia kekal iaitu kita tidak mengiktiraf mana-mana langkah yang menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan sendiri,” katanya.

Fahmi berkata, Jemaah Menteri telah meminta Menteri Luar memberi kenyataan rasmi kepada Dewan Rakyat berhubung isu berkenaan selewat-lewatnya awal minggu depan.

“Insya-Allah, kenyataan menteri akan dibentangkan antara Isnin hingga Rabu. Buat masa ini, pendirian kita tetap iaitu negara Palestin mempunyai hak untuk wujud dan ini kekal menjadi dasar luar Malaysia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button