POLITIK

Lebih 4,000 perwakilan DAP tentukan hala tuju parti, kekal atau tidak dalam kerajaan

PUTRAJAYA – Seramai 4,264 perwakilan DAP daripada 1,704 cawangan yang layak menghadiri Persidangan Kebangsaan DAP hari ini akan menentukan pendirian parti sama ada kekal atau tidak dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat tempoh.

Persidangan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini bermula tepat pukul 10 pagi, dengan sejumlah perwakilan mengambil tempat di dewan utama untuk mendengar ucapan dan perbahasan daripada pucuk pimpinan utama parti.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook membentangkan usul sama ada parti akan kekal atau tidak dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat tempoh.

Difahamkan, seramai 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak menghadiri persidangan akan mengundi usul berkenaan.

Persidangan kali ini turut berlangsung dengan latar politik yang menyaksikan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh kebelakangan ini memberikan keputusan berbeza kepada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Pada PRN Sabah November lalu, Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi satu daripada 73 kerusi DUN, manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul blok terbesar dengan 29 kerusi, diikuti Warisan dengan 25 kerusi.

Terbaharu di Johor bulan lalu, Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar apabila menguasai 48 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lapan kerusi.

Daripada jumlah itu, DAP memenangi enam kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu.

Sementara itu, pada PRN Negeri Sembilan, PH menerusi DAP memenangi 11 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi DUN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button