BERITA SEMASA

HSADB tubuh jawatankuasa khas siasat dakwaan gangguan seksual oleh doktor pakar

JOHOR BAHRU – Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) menubuhkan Jawatankuasa Khas Siasatan bagi menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan gangguan seksual melibatkan seorang Pakar Perubatan di Jabatan Anestesiologi.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum laporan sebuah portal media yang mendakwa terdapat pihak meminta supaya laporan berhubung dakwaan berkenaan ditarik semula oleh pengadu.

Menurut kenyataan itu, pihak hospital menegaskan sebarang usaha untuk menyembunyikan, menyekat, menekan atau menghalang mana-mana warga kerja daripada membuat laporan berhubung dakwaan gangguan seksual adalah tidak boleh diterima dan tidak akan dikompromi.

“Untuk makluman, pihak hospital telah mengambil tindakan segera dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Siasatan bagi menjalankan siasatan dalaman berhubung laporan gangguan seksual yang diterima itu pada 28 Ogos 2026,” menurut kenyataan JKNJ.

Laporan siasatan dalaman itu kini sedang dilengkapkan dan akan diuruskan selanjutnya mengikut garis panduan serta tatacara yang sedang berkuat kuasa.

JKNJ berkata, HSAJB sentiasa komited memastikan keadilan kepada semua pihak, selain memelihara ketelusan dan integriti proses siasatan pada setiap peringkat.

“JKNJ bersama pihak hospital kekal komited untuk menyediakan persekitaran tempat kerja yang selamat dan profesional serta bebas daripada sebarang bentuk gangguan, intimidasi atau salah laku,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button