BERITA SEMASA

PAS gesa Kerajaan Persekutuan henti pemberian lesen judi

KOTA BHARU – PAS menggesa Kerajaan Persekutuan menghentikan pemberian lesen perjudian baharu serta menilai semula dasar pembaharuan lesen sedia ada bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil langkah lebih tegas membendung aktiviti berkenaan.

Gesaan itu terkandung dalam usul yang dibentangkan PAS Kawasan Baling dan diluluskan tanpa bahas pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Ketua Penerangan PAS yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Muktamar, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keputusan mahkamah berkaitan isu lesen premis perjudian di Kedah menunjukkan terdapat kekangan dari sudut perundangan terhadap kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan lebih tegas.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan keperluan Kerajaan Persekutuan menilai semula dasar pemberian lesen perjudian serta mengkaji ruang perundangan bagi membolehkan kerajaan negeri melaksanakan dasar lebih tegas mengikut bidang kuasa yang sah.

“Justeru, muktamar menggesa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan menilai semula dasar pemberian dan pembaharuan lesen perjudian termasuk mempertimbangkan penghentian pemberian lesen baharu.

“Kerajaan negeri khususnya negeri-negeri SG4 juga digesa memperkemaskan undang-undang sedia ada, dasar PBT dan mekanisme pentadbiran berdasarkan nasihat perundangan supaya usaha membendung aktiviti perjudian dapat dilaksanakan dengan asas undang-undang yang lebih kukuh,” katanya ketika membentangkan usul itu.

Ahmad Fadhli berkata, Ahli Parlimen PAS turut digesa membawa perkara berkenaan ke Dewan Rakyat bagi mengkaji serta mencadangkan pindaan terhadap undang-undang Persekutuan.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memberikan ruang lebih jelas kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar lebih ketat terhadap operasi premis perjudian.

Beliau berkata, kerajaan negeri Kedah sebelum ini mengambil pendekatan tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen premis perjudian sebagai sebahagian usaha membendung kesan sosial dan moral akibat aktiviti berkenaan.

Bagaimanapun, dasar itu dicabar melalui proses kehakiman sehingga Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu menolak permohonan kebenaran kerajaan negeri Kedah untuk merayu, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Usul berkenaan turut menegaskan bahawa Islam melarang perjudian kerana kemudaratannya terhadap individu, keluarga dan masyarakat, selain menyifatkan isu berkenaan berkaitan kepentingan dasar awam, kesejahteraan sosial serta ketenteraman masyarakat.

“Sehubungan itu muktamar berpandangan usaha menangani isu perjudian perlu diteruskan melalui saluran dasar, perbahasan di Parlimen serta pindaan undang-undang yang bersesuaian bagi memperjelaskan bidang kuasa kerajaan negeri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Sebanyak 33 usul diterima pada muktamar berkenaan daripada seluruh negara membabitkan PAS Kawasan, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Jawatankuasa Pas Pusat.

Selain isu perjudian, muktamar turut meluluskan tanpa bahas usul mendesak kerajaan mengambil langkah menyeluruh bagi menangani peningkatan kos sara hidup rakyat.

Antara cadangan dikemukakan ialah memperkukuh kawalan harga dan bekalan barangan keperluan asas, meningkatkan pendapatan serta kuasa beli rakyat, memperluaskan peluang pekerjaan berkualiti dan mengukuhkan jaringan keselamatan sosial khususnya kepada golongan B40, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta ibu atau bapa tunggal.

Muktamar turut menerima tanpa bahas usul gabungan PAS Kawasan Parit dan PAS Kawasan Bangi yang menggesa Ameerah diperkasakan sebagai sayap penting dalam organisasi Pas.

Melalui usul itu, satu Jawatankuasa Khas di peringkat PAS Pusat dicadangkan bagi meneliti secara menyeluruh kedudukan, struktur, fungsi, bidang kuasa serta mekanisme terbaik untuk memperkukuh peranan Ameerah dalam pembangunan kepimpinan, tarbiyah, dakwah dan advokasi Muslimat muda.

Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata, muktamar turut menerima empat usul untuk dibahaskan oleh para perwakilan.

“Usul-usul itu ialah memperkasa Agenda Penyatuan Ummah ke arah pengukuhan kekuatan politik Melayu-Islam dan kestabilan negara serta penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan mafia korporat.

“Selain itu, usul reformasi masa kerja dan tenaga kerja kesihatan serta usul memperkasakan rantaian pengeluaran padi serta beras negara bagi memperkukuh keterjaminan makanan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button