POLITIK

Cadangan bubar Parlimen jika DAP keluar kerajaan tidak berasas, PH masih ada mandat – Saifuddin

KUALA LUMPUR – PKR menolak cadangan supaya Parlimen dibubarkan sekiranya DAP keluar daripada pentadbiran Kerajaan Persekutuan memandangkan kerajaan sedia ada masih kukuh untuk meneruskan pentadbiran sehingga tamat penggal.

Timbalan Setiausaha Agungnya, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, saranan yang dikemukakan Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil itu disifatkan sebagai cadangan yang tidak cukup masak.

Menurutnya, sesebuah kerajaan dibentuk berdasarkan mandat rakyat dan sewajarnya mentadbir sehingga tamat tempoh satu penggal penuh, lebih-lebih lagi ketika pentadbiran sedia ada berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Jika akar umbi DAP mengambil keputusan agar pimpinan mereka meninggalkan posisi pentadbiran, keadaan tetap stabil kerana ahli-ahli Parlimen mereka masih lagi menjadi sebahagian daripada blok penyokong kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : Kekalahan PH berpunca daripada ‘tsunami’ Melayu – Hassan

Saifuddin menambah, keputusan sedemikian, jika berlaku, lebih bersifat strategi parti untuk memperkukuh struktur dalaman dan perlu dihormati oleh semua komponen sahabat serta parti-parti lain.

“Semua pihak terutama Keadilan percaya DAP akan terus memainkan peranan dalam memberikan pandangan semak imbang serta perkongsian pengalaman yang diperlukan oleh pentadbiran kerajaan selain terus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada kawasan Parlimen yang mereka wakili.

“Dengan dibarisi lebih dua pertiga Ahli Parlimen, pastinya Kerajaan MADANI tidak akan menghadapi masalah untuk melengkapkan jumlah Menteri Kabinet yang diperlukan bagi membantu kelancaran pentadbiran,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kehadiran wakil DAP dalam pentadbiran Kerajaan MADANI tidak memberi sebarang impak buruk, sebaliknya hanya dijadikan alasan oleh pihak tertentu untuk mencetuskan sentimen yang tidak wajar.

“Malah para Menteri dan Timbalan Menteri yang mewakili DAP tuntas menjalankan amanah yang diberikan di sebalik tekanan-tekanan fitnah politik yang berpanjangan.

“Malah semua pihak yakin prestasi dan pentadbiran cemerlang kerajaan pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan menjawab secara terus pertikaian dan persepsi yang cuba dihangatkan terutama pada dua siri Pilihan Raya Negeri lalu dan rakyat akan mulai sedar kestabilan dan kemakmuran ekonomi adalah jawapan kepada semua kebingungan sosial yang sedang berlegar kini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button