KEMENTERIAN KOMUNIKASI

Jerebu: Tiada pembakaran dalam konsesi sawit syarikat Malaysia di Indonesia – Fahmi

PUTRAJAYA – Kebakaran yang mencetuskan kebimbangan berhubung jerebu di Indonesia didapati berlaku di luar kawasan konsesi kelapa sawit milik syarikat Malaysia, hasil semakan silang yang dijalankan kerajaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, semakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad bersama syarikat Malaysia yang mempunyai konsesi sawit di Indonesia mendapati tiada aktiviti pembakaran dilakukan di kawasan konsesi milik syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat satu kejadian kebakaran di ladang milik Genting Plantations seluas lima hektar yang berpunca daripada api merebak dari kawasan luar sebelum berjaya dipadamkan.

“Hasil semakan silang dengan syarikat Malaysia yang mempunyai konsesi sawit menunjukkan kebanyakan daripada apa disaksikan, aktiviti pembakaran itu berlaku di luar konsesi sawit milik syarikat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pascamesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Dalam masa sama, Jemaah Menteri turut dimaklumkan bahawa Kalimantan mengalami tempoh lebih 101 hari tanpa hujan, manakala hujan yang turun jika ada, tidak mencukupi.

Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan meneruskan sesi libat urus dengan syarikat Malaysia yang mempunyai operasi di Indonesia.

Pada masa sama, Fahmi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan Jemaah Menteri mengenai keperluan penyelarasan lebih lanjut bagi menangani isu jerebu, khususnya membabitkan aktiviti sukan di luar bangunan serta pembukaan sekolah dan tempat pembelajaran.

Katanya, KPM dan KKM memaklumkan bahawa garis panduan sedia ada berhubung perkara itu adalah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang sedang berkuat kuasa.

Selain itu, Fahmi berkata, satu mesyuarat yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berlangsung Isnin depan bagi membincangkan isu jerebu, dengan KKM dan KPM akan mengemukakan maklumat lanjut berkaitan perkara berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button