Kerajaan Sarawak salur bantuan kepada waris mangsa nahas helikopter FDS
KUCHING – Kerajaan Sarawak menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada setiap waris lima mangsa tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, Ulu Baram, bulan lalu.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, selain iu kerajaan negeri turut menyediakan bantuan pendidikan kepada anak mangsa hingga ke peringkat universiti.

Beliau mengakui, kehilangan anggota keluarga tidak dapat digantikan dengan apa juga bentuk bantuan, namun kerajaan Sarawak akan terus berusaha membantu waris, khususnya dalam aspek pendidikan anak-anak mangsa.
“Namun, sedikit sebanyak kita dapat membantu mereka, khususnya anak mereka. Tadi kita ada memberi surat tawaran daripada Yayasan Sarawak untuk membantu pembayaran yuran dan persekolahan anak mereka hingga ke peringkat universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Penyerahan Sumbangan Prihatin Kerajaan Sarawak kepada waris mangsa helikopter FDS di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Abang Johari berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada kelangsungan hidup waris dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang mempunyai kelayakan dan pengalaman profesional.
Antaranya, Stephanie Essah Incham, isteri mendiang Alexson Adit Henry, ditawarkan peluang kerjaya di Universiti Curtin, Miri.
Empat lagi waris yang hadir ialah Mohd Faiz Ab Malek, suami Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamaruddin; Nor Izzati Syamimi Suhaimi, isteri Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham; John Then Hua Ken, suami mendiang Debra Moset; dan Larry Bilong Kule, suami mendiang Jessie Paya Jok.
Setiap waris menerima sumbangan RM100,000, manakala empat waris selain suami Dr Ainul Baraah turut menerima penajaan biasiswa Yayasan Sarawak untuk anak-anak mereka.
Pada majlis sama, Yayasan Sarawak memberi taklimat mengenai bantuan pendidikan dan kerjaya yang disediakan kerajaan, termasuk penajaan pendidikan anak-anak waris dari Tahun Satu sekolah rendah hingga peringkat Doktor Falsafah (PhD), tertakluk kepada kemudahan dan syarat ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








