Banjir: 1,172 mangsa di Sarawak dipindahkan ke PPS
KUCHING – Situasi banjir di beberapa daerah di Sarawak semakin membimbangkan susulan hujan lebat berterusan sejak semalam, menyebabkan 1,172 mangsa daripada 349 keluarga dipindahkan ke 15 pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 4 petang ini, Siburan merekodkan jumlah PPS tertinggi dengan enam pusat pemindahan dibuka sejak malam tadi.
Antara PPS yang beroperasi ialah Balai Raya Kampung Betong Kanowit yang menempatkan 26 mangsa daripada enam keluarga, Dewan Taman Duranda Emas (189 mangsa, 47 keluarga) dan Gereja St Peter Simpok yang menempatkan 55 mangsa daripada 24 keluarga.
Tiga lagi PPS di daerah itu ialah Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru dengan 119 mangsa daripada 31 keluarga, Sekolah Kebangsaan Tanah Merah yang menempatkan 248 mangsa daripada 87 keluarga serta Dewan Serbaguna Kampung Kerumboi yang menempatkan 28 mangsa daripada tujuh keluarga.
Di Bau, dua PPS diaktifkan iaitu Dewan Serbaguna Kampung Bijuray Mongag, Krokong yang menempatkan 93 mangsa daripada 23 keluarga dan Dewan Serbaguna Kampung Blimbin Krokong dengan 78 mangsa daripada 21 keluarga.
Daerah Samarahan turut membuka dua PPS, masing-masing di Sekolah Kebangsaan Endap yang menempatkan 206 mangsa daripada 65 keluarga dan Dewan Suarah Kota Samarahan dengan 13 mangsa daripada tiga keluarga.
Sementara itu, Serian membuka dua PPS iaitu di Dewan Baru Kampung Rimba Padi yang menempatkan 60 mangsa daripada 18 keluarga dan Dewan Sri Tok Nan yang masih dalam proses pengemaskinian data mangsa.
Di Simunjan, dua PPS beroperasi di Dewan Mesra Simunjan yang menempatkan 37 mangsa daripada 13 keluarga serta Dewan Masyarakat Gedong dengan 13 mangsa daripada tiga keluarga, manakala di Sibu, satu PPS dibuka di Dewan Kampung Jeriah Sibu yang menempatkan sebuah keluarga.
Pihak berkuasa terus memantau keadaan cuaca dan paras air sungai, selain menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pemindahan demi keselamatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








