1,363 mangsa banjir Sabah masih berlindung di PPS
KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di Sabah menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mencatatkan penurunan kepada 1,363 setakat pagi ini, berbanding 1,418 petang semalam.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa tersebut terdiri daripada 500 keluarga yang masih berlindung di 11 PPS di empat daerah.
Di Beaufort, seramai 627 mangsa daripada 211 keluarga ditempatkan di empat PPS manakala Kota Belud merekodkan 271 mangsa daripada 97 keluarga di dua PPS.
Sementara itu, Tenom menempatkan 325 mangsa daripada 152 keluarga di empat PPS, manakala Kemabong mencatatkan 140 mangsa daripada 40 keluarga yang berlindung di sebuah PPS.
Di Sarawak, seramai 301 mangsa daripada 134 keluarga masih berada di dua PPS di Miri, manakala di Perak, 22 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Kinta.
Dalam perkembangan berkaitan, laman web Public Info Banjir melaporkan aras air di tiga lokasi di Sarawak telah melepasi tahap bahaya, masing-masing di Marudi (Miri), Nanga Lemai B (Sibu) dan Kampung Entingan (Samarahan).
Selain itu, tujuh kawasan turut mencatatkan aras air melebihi paras amaran, melibatkan Nangsa Insungai dan Lubok Piasau II di Limbang; Bekenu, Benawa dan Long Teru di Miri serta Matu (Mukah) dan Kampung Mang (Samarahan).
Aras air pada tahap amaran turut direkodkan di Sungai Rompin, Kampung Aur (F2), Rompin, Pahang serta Sungai Siput, Kampung Sungai Siput (F2), Alor Gajah, Melaka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








