460 kawasan berisiko banjir, bomba Terengganu siap siaga hadapi monsun
KUALA TERENGGANU – Sebanyak 460 kawasan di seluruh Terengganu dikenal pasti berisiko dilanda banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pertengahan bulan ini hingga Mac tahun depan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Nur Mahathir Muhamad berkata, seramai 1,083 pegawai dan anggota bersiap siaga bagi melaksanakan kerja-kerja pemindahan dan operasi menyelamat sekiranya bencana berlaku.
Beliau berkata, sebanyak 71 aset termasuk kenderaan darat dan marin sudah bersedia untuk digerakkan ke kawasan terjejas pada bila-bila masa.
“Pada mesyuarat jawatankuasa bencana terakhir pada 1 November lalu, kita telah memastikan semua pelan tindakan kecemasan termasuk logistik, aset dan sumber manusia berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya.
“Kita juga telah menubuhkan Pasukan Gerak Cepat (PGC) dan melantik komander operasi di setiap daerah yang diketuai pegawai kanan JBPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, JBPM negeri turut mengagihkan bot komuniti kepada pasukan bomba sukarela di beberapa lokasi termasuk Felda Bukit Bading di Hulu Terengganu, Felda Belara di Kuala Terengganu, Felda Neram 1 di Kemaman serta Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai, Marang sebagai persediaan awal.
Selain itu, aset udara turut disediakan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai bagi tujuan penyelamatan serta penghantaran bantuan ke kawasan yang dijangka terputus hubungan semasa banjir.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








