Keputusan tuntutan 40 peratus hasil Sabah dimuktamad dalam mesyuarat kabinet esok – Anwar
TAWAU – Keputusan mengenai tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri, esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mendengar pandangan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang sebelum membuat keputusan sama ada memfailkan rayuan atau sebaliknya, lapor Sinar Online.
“Saya sudah panggil mesyuarat esok. Kita dengar dulu penjelasan Peguam Negara, hendak rayu atau tidak, tunggu esok.
Bagi saya, kalau tidak rayu pun tidak mengapa. Tetapi keputusan muktamad dibuat selepas kita dengar dan bincang bersama semua ahli Jemaah Menteri,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Malaysia Digital, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Perdana Menteri kemudiannya berkata, terdapat kekangan dan keterbatasan dalam isu berkenaan, namun berharap semua pihak memahami situasi berkenaan.
“Soalnya, mahkamah arah untuk runding. Saya kata baik, kita akan runding. Tetapi hari ini hendak runding dengan siapa? Kerana kerajaan sekarang hanyalah kerajaan sementara (caretaker government). Tunggu pilihan raya, selepas kerajaan baharu dibentuk, saya akan arahkan rundingan dimulakan segera,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan, kerajaan pimpinannya telah menyalurkan peruntukan yang lebih besar kepada Sabah berbanding pentadbiran terdahulu.
Jelas beliau, Sabah kini menerima peruntukan tahunan sebanyak RM17 bilion, berbanding hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan di negeri itu iaitu kira-kira RM10 bilion setahun.
“Mengapa ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya meningkatkan jumlah pemberian khas kepada Sabah sebanyak RM600 juta? Namun, ini belum muktamad. Kerajaan negeri meminta tambahan dan dalam mesyuarat akan datang, kita akan runding lagi berapa jumlah yang boleh ditambah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








