Empat sungai di Sarawak lepasi paras bahaya, 1,601 mangsa banjir masih di PPS
KUALA LUMPUR – Empat sungai utama di Sarawak dilaporkan melepasi paras bahaya setakat pukul 7 pagi tadi iaitu Sungai Nanga Insungai dan Lubok Piasau II di Limbang, Sungai Benawa di Miri, Sungai Salim B di Sibu serta Sungai Sibiu di Bintulu.
Selain itu, beberapa sungai di negeri lain pula berada pada tahap amaran dan waspada antaranya Sungai Perak di Teluk Sena, Perak Tengah yang turut dilaporkan melepasi paras bahaya, menurut laman web Public Info Banjir.
Semnentara itu, menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 1,601 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara setakat pukul 12 tengah malam tadi.
Jumlah itu membabitkan 502 keluarga yang ditempatkan di 18 PPS di empat negeri iaitu Sarawak, Sabah, Pahang dan Johor.
Sarawak mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,216 orang ditempatkan di 11 PPS masing-masing di Kuching (1,052 mangsa), Limbang (138) dan Samarahan (26). Keadaan sama turut dilaporkan di Beaufort, Sabah melibatkan 190 mangsa, diikuti Raub, Pahang (83) serta Segamat, Johor (112).
Daripada keseluruhan mangsa, seramai 1,065 adalah orang dewasa, manakala kanak-kanak seramai 500 orang dan bayi 36 orang.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri semasa kunjungan ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Surau Ar-Rahman Kampung Sungai Batu di Kuching berkata, sebanyak 617 pegawai dan kakitangan JKM Sarawak sedia digerakkan bagi perkhidmatan pengurusan bencana banjir di negeri itu, semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








