BERITA SEMASA

Ban pecah cetus banjir mengejut, lebih 3,000 penduduk RTB Bukit Changgang terjejas

KUALA LANGAT – Lebih 3,000 penduduk Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang berdepan banjir mengejut selepas sebuah ban dipercayai pecah akibat hujan lebat berterusan, menyebabkan sebahagian besar kawasan kampung ditenggelami air sejak malam tadi.

Kejadian yang dilaporkan berlaku pada pukul 10.30 malam itu menyebabkan laluan keluar masuk kampung terputus dan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda serta kenderaan berat.

Tinjauan di lokasi mendapati paras air meningkat dengan cepat sehingga menenggelami rumah penduduk setinggi kira-kira satu meter selain merosakkan harta benda dan peralatan rumah.

Seorang penduduk, Mohd Amir Abd Malek, 37, berkata kejadian itu merupakan pengalaman pertama sejak menetap di kampung berkenaan dua tahun lalu.

Katanya, dia segera memindahkan isteri dan empat anaknya ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Changgang selepas melihat air naik sehingga paras paha dalam tempoh lima hingga 10 minit.

“Ketika ini rumah saya dipercayai sudah ditenggelami air hingga paras pinggang dan air masih menunjukkan trend meningkat.

“Saya hanya mampu melihat keadaan rumah dari luar. Syukur sempat mengalihkan kereta Perodua Kancil ke tempat yang lebih selamat,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung RTB Bukit Changgang, Noor Hazmir Muhammad berkata, kawasan tersebut mula terjejas sekitar pukul 10.30 malam sebelum keadaan bertambah buruk kira-kira dua jam kemudian.

Menurutnya, kedudukan kampung yang berada di kawasan rendah dan menerima limpahan air dari Sungai Langat menyebabkan banjir berlaku dengan pantas.

“Banjir besar pernah berlaku pada 2012 dan 2021, namun kejadian kali ini tetap memberi kesan besar kepada lebih 3,000 penduduk kerana berlaku secara mendadak.

“Kami menjangkakan banjir mungkin berlarutan sehingga seminggu bergantung kepada keadaan cuaca dan paras air semasa,” katanya.

Beliau berharap kerja-kerja baik pulih ban yang rosak dapat disegerakan memandangkan kerajaan sebelum ini telah meluluskan peruntukan RM4 juta bagi pembinaan ban baharu yang difahamkan baru dimulakan seminggu lalu.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh berkata, pihaknya telah turun ke lokasi bagi memantau keadaan mangsa dan memastikan bantuan segera disalurkan.

“Kita mahu memastikan tiada penduduk yang terperangkap atau terputus bekalan bantuan akibat banjir ini.

“Selain isu ban yang pecah, penyelenggaraan sistem perparitan dan longkang di kawasan berkenaan juga perlu diberi perhatian bagi mengurangkan risiko kejadian berulang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button