Kali kedua dalam dua minggu, Medan Selera 223 dilanda banjir paras pinggang
PETALING JAYA – Kawasan medan selera di Jalan 51A/223, Seksyen 51A kembali dilanda banjir kilat setinggi 1.2 meter petang tadi, mengakibatkan beberapa buah kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir ditenggelami air.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, panggilan kecemasan diterima pihaknya pada pukul 4.15 petang. Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya dikerahkan ke lokasi dan tiba dalam tempoh 11 minit.
“Berlaku kejadian banjir kilat di kawasan medan selera dengan kedalaman air kira-kira 1.2 meter. Terdapat beberapa buah kenderaan tenggelam, namun tiada pemindahan mangsa kerana paras air semakin surut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Medan Selera 223 yang terkenal dengan hidangan nasi lemak dan sup itu pernah dilaporkan mengalami kejadian serupa pada 21 April lalu akibat cuaca hujan lebat yang berlarutan.
Kejadian ini merupakan kali kedua berlaku dalam tempoh hanya dua minggu di lokasi yang sama.
Beberapa video yang tular di media sosial turut memaparkan suasana cemas di mana peniaga dan pekerja medan selera tersebut berusaha menyelamatkan barangan perniagaan masing-masing ketika air sudah pun mencecah paras pinggang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








