BERITA SEMASA

Banjir Hatyai: Hanya tinggal kurang 500 orang rakyat Malaysia

KUALA LUMPRU – Jumlah rakyat Malaysia yang masih terperangkap dalam banjir di Hatyai, Thailand setakat pagi ini kurang daripada 500 orang, menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, pada hari ini sahaja, seramai 177 rakyat Malaysia berjaya dibawa keluar manakala operasi menyelamat diteruskan secara berperingkat mengikut keadaan akses jalan yang masih terhad.

Menurutnya, lebih 700 individu setakat ini berjaya dipindahkan dari Hatyai ke Bukit Kayu Hitam, termasuk rakyat Malaysia yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

“Sehingga semalam, Jabatan Imigresen merekodkan 2,204 rakyat Malaysia yang menyeberangi sempadan di Bukit Kayu Hitam, Durian Burung dan Wang Kelian,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad menegaskan, usaha menyelamat rakyat Malaysia akan dilaksanakan secara berterusan, termasuk kemungkinan menghantar pasukan sukarelawan jika keadaan mendesak.

“Saya hubungi rakan sejawat di Thailand bertanya sama ada mereka perlukan pasukan penyelamat dari Malaysia namun beliau memaklumkan keadaan masih dapat diuruskan oleh pihak mereka.

“Bagaimanapun, ramai sukarelawan termasuk Persatuan Bulan Sabit Merah dari Perlis, Kedah dan Perak serta NGO lain telah pergi ke sana untuk membantu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memohon maaf sekiranya terdapat pihak yang kurang senang dengan penggunaan kontena dalam operasi membawa keluar rakyat Malaysia dari kawasan banjir di Hatyai.

“Kita terpaksa guna kontena dan duduk ramai-ramai, hampir seperti pemerdagangan manusia. Mereka duduk dalam kontena dan kita bawa sampai ke Bukit Kayu Hitam. Kontena digunakan kerana lori kecil tidak boleh melalui kawasan tersebut,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button